
KAPIT – Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi menyifatkan kejayaan dicapai oleh Sarawak kerana kestabilan pentadbiran kerajaan Persekutuan.
“Tanpa kestabilan politik, sangat mustahil membangunkan Sarawak,” kata beliau.
Selain itu, beliau turut berkata gandingan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg penuh dengan keserasian.
“Keutuhan ini akan memulihkan dan memartabatkan semula Malaysia yang pernah dikenali sebagai Harimau Asia,” kata beliau.
Beliau turut memuji kejayaan Anwar Ibrahim membawa Malaysia ke landskap politik baharu.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin Komuniti Masyarakat di Dewan Suarah Kapit pada Ahad.
Sementara itu, Alexander berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana meluluskan projek pembinaan jalan menghubungkan Nanga Semaram di Kanowit ke Kapit, sejauh 72 kilometer.
Selain itu, kerajaan Persekutuan juga bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi mengatasi masalah hakisan sungai di Rumah Robert Nanga Sebatu.
“Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana mempertimbangkan kelulusan ini dan pastinya berpaksikan kepada kesejahteraan rakyat terutama kawasan pedalaman,” kata beliau lagi.





