MAPS diroboh: Rakyat Perak harap tempat tarikan baharu tidak ikut gagal

IPOH – Susulan video perobohan bangunan taman tema Movie Animation Park Studio (MAPS) di Bandar Meru Raya di sini yang tular di platform media sosial, orang ramai terutamanya rakyat Perak menaruh harapan tinggi agar tempat tarikan baharu sedia ada di negeri ini tidak turut menjadi ‘projek gajah putih’ seperti itu.

Rata-rata mereka menyuarakan kegusaran tersebut di mana-mana status para pengguna platform Facebook terutamanya yang memaparkan berkaitan video perobohan tersebut. Ada yang positif dan sebaliknya.

Salah seorang pelayar Facebook Perak Kini, menyatakan kegusaran dan kesedihan kerana mendakwa kebanyakan tempat tarikan di Perak selalu ‘tidak menjadi’ atau gagal.

“Saya risau tempat tarikan baharu seperti Escape, Silverlake akan turut mengikut jejak MAPS sekiranya pihak berwajib tidak bertanggungjawab,” katanya di ruangan komen tersebut.

Malah,ada beberapa pengguna lain memberi cadangan agar tapak taman tema itu digantikan dengan pembangunan yang memberi manfaat buat rakyat seperti menambah bangunan hospital bagi menampung kesesakan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

“Lebih baik tapak tersebut dibangunkan hospital bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi Hospital Bainun daripada segi tidak cukup katil dan tempat letak kereta yang terhad,’’ ujar seorang pengguna dikenali Rizal ToyBiz.

Cadangan tersebut turut mendapat reaksi positif daripada para pengguna lain yang bersetuju sekiranya tapak tersebut dibangunkan hospital untuk keselesaan di kemudian hari.

Ada juga reaksi pengguna yang tidak menafikan terdapat tempat tarikan taman tema lain di Perak seperti Lost World Tambun dan Bukit Merah Laketown masih bertahan dan menjadi pilihan sehingga sekarang.

“Harga tiket masih masuk akal dan berbaloi,” tambah pengguna Facebook itu.

Baru-baru ini penularan video perobohan itu mengundang reaksi daripada pelbagai pihak termasuk Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak, Razman Zakaria yang mahukan pihak Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, memberi penjelasan.

Ekoran itu, Datuk Saarani memberi penjelasan bahawa Kerajaan Perak tidak mempunyai sebarang kaitan lagi dengan projek MAPS yang dalam proses perobohan.

Projek ‘gajah putih’ bernilai RM520 juta yang ditutup sejak 28 Januari 2020 itu kini di bawah pemilikan ‘liquidator’ atau penyelesai.

Sehubungan itu, beliau membidas dakwaan ketua pembangkang negeri itu kononnya kerajaan negeri membisu mengenai kerja perobohan bangunan berkenaan.

Dalam pada itu, Saarani turut mempersoalkan sikap Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol kerana hanya bersuara berhubung perkara itu selepas tidak lagi memegang jawatan dalam kerajaan negeri.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin, turut memaklumkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tidak menerima sebarang permohonan kebenaran merancang (KM) untuk pembangunan di kawasan MAPS, setakat ini.

MAPS dibuka kepada orang ramai pada Jun 2017 dengan pelbagai permainan bertema animasi tempatan seperti Upin & Ipin serta Boboiboy bertujuan merancakkan sektor pelancongan di Ipoh.

Bagaimanapun, ia ditutup dalam tempoh kurang tiga tahun kerana masalah kewangan.

Related Posts

Pengurusan trafik laluan Tebobon-Tamparuli perlu diperkasa demi kelancaran produktiviti

KOTA KINABALU – Pengurusan trafik di sepanjang laluan Tebobon–Tuaran–Tamparuli yang sedang menjalani projek naik taraf jalan raya dan jambatan perlu dipertingkatkan bagi memastikan kelancaran perjalanan pengguna serta mengurangkan kesan terhadap…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Sabah tekad perkasa tadbir urus pelancongan melalui MA63 – Jafry

KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri Sabah terus komited memperjuangkan cadangan meletakkan sektor pelancongan di bawah Senarai Bersama (Concurrent List) Perlembagaan Persekutuan selaras dengan semangat dan prinsip Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Pengurusan trafik laluan Tebobon-Tamparuli perlu diperkasa demi kelancaran produktiviti

Pengurusan trafik laluan Tebobon-Tamparuli perlu diperkasa demi kelancaran produktiviti

Sabah tekad perkasa tadbir urus pelancongan melalui MA63 – Jafry

Sabah tekad perkasa tadbir urus pelancongan melalui MA63 – Jafry

Mukah himpun 160 pakar maritim jayakan latihan SAREX 2026

Mukah himpun 160 pakar maritim jayakan latihan SAREX 2026

Arab Saudi sambut ketibaan lebih 19.5 juta jemaah haji, umrah sepanjang 2025

Arab Saudi sambut ketibaan lebih 19.5 juta jemaah haji, umrah sepanjang 2025

Polis tahan suspek rakam video aibkan wanita di Festival Makanan Kuching

Polis tahan suspek rakam video aibkan wanita di Festival Makanan Kuching

Polis siasat gangguan tidak senonoh di Taman Hill Top, Luyang

Polis siasat gangguan tidak senonoh di Taman Hill Top, Luyang