
KUALA LUMPUR – Jika sekarang ini Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendabik dada menuntut bangsa bukan Melayu mengenang budi orang Melayu di negara ini tetapi harus diingat Pas juga pernah mencari DAP dan juga kekuatan kaum lain dalam PKR sewaktu bersama bertahaluf siyasi di bawah payung pembangkang, Pakatan Rakyat (Pakatan).
Pakatan Rakyat adalah kerjasama politik tiga parti pembangkang utama terdiri daripada Pas, DAP dan PKR yang memeterai persepakatan pada 1 April 2008.
Dalam catatan Minda Presiden Pas pada Jumaat, Hadi berkata di Malaysia ini ada hubungan yang erat di antara Melayu dan Islam dan ia ‘tidak boleh dipisahkan’ dan wajar dihargai oleh bangsa lain ‘yang dibawa masuk oleh penjajah’.
Dakwa Hadi, di negara ini sesiapa saja yang menganut Islam akan dinamakan Melayu tanpa mengambil kira suku kaumnya, termasuk jika individu terbabit berasal dari Arab, India, Cina dan sebagainya.
“Apabila seseorang Melayu keluar dari Islam, maka dia dikira bukan Melayu lagi,” katanya dalam catatan itu.
Tambah Hadi lagi Perlembagaan Persekutuan pula menetapkan Islam ialah agama bagi Persekutuan, hak istimewa Melayu dan Bumiputera (dijamin), serta bahasa kebangsaannya ialah bahasa Melayu.
Selain itu, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang mendakwa bahasa Melayu dan tulisannya yang berhuruf Arab dan Parsi menjadi bahasa kebangsaan, serta menjadi perantaraan masyarakat majmuk.
Menurut Hadi lagi, bahasa Melayu menjadi bahasa agama di samping bahasa Arab sehingga dijadikan bahasa ilmu di Nusantara.
“Maka Melayu Islam boleh dijadikan syarat kepimpinan kerajaan di rantau ini seperti kedudukan raja-raja Melayu yang dikekalkan,” tulis beliau.
Mari kita imbas sejarah Pakatan, sebelum itu DAP, PKR dan Pas, menganggotai Barisan Alternatif (BA) yang ditubuhkan pada tahun 1999.
Bagaimanapun, DAP bertindak keluar daripada BA dua tahun kemudiannya kerana membantah agenda negara Islam yang diperjuangkan oleh Pas.
Mungkin penyokong serta ahli Pas tidak sedar bahawa dulu Pas saling bekerjasama dengan DAP dan berjaya mencipta beberapa kemenangan besar dalam mendepani UMNO-BN pada pilihan raya.
Keputusan menubuhkan Pakatan dibuat dalam satu perjumpaan 1 April 2008 itu yang dihadiri oleh Ketua Umum PKR ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PKR ketika itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail; pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang; dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Pakatan Rakyat berikrar untuk melindungi hak-hak dan kepentingan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama, sepertimana yang terkandung dalam Perlembagaan.
Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, gabungan tidak formal PKR-Pas-DAP yang membentuk Pakatan Rakyat berjaya memenangi 82 daripada 222 kerusi dalam Parlimen Malaysia, dan berjaya menafikan majoriti dua per tiga kerusi yang dipegang Barisan Nasional (BN) sejak kemerdekaan negara.
Momentum ini dikekalkan dalam PRU 2013 apabila meningkatkan jumlah kerusi dari 82 ke 89 daripada 222 kerusi.
Pakatan membentuk kerajaan negeri di Pulau Pinang dan Selangor, manakala di Kelantan, Pakatan mengekalkan kerajaan negeri sedia ada.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13, Pakatan Rakyat yang masih tidak berdaftar memenangi majoriti popular di seluruh negara, tetapi disebabkan oleh banyak variasi dalam jumlah pemilih di kerusi Parlimen yang berbeza, kalah BN, yang memenangi 133 daripada 222 kerusi Persekutuan dan 275 daripada 505 kerusi negeri.
Hadi sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan “kalau tidak undi DAP, kita tidak boleh menang, jadi kita memerlukan satu gabungan yang besar untuk menjatuhkan kerajaan UMNO-BN.
Bahkan Hadi berfatwa bahawa “wajib sokong DAP, haram sokong UMNO hingga kiamat” dan ia dibuktikan dengan beberapa siri kemenangan hasil kerjasama pilihan raya DAP-Pas.
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menulis satu artikel berkata, mereka yang membuat bai’ah kepada kepimpinan Pas dan taasub dengan parti, yang memecah-belah orang Melayu kerana kononnya penentang parti Pas adalah kafir dan berlawan dengan mereka adalah jihad.
Beliau malah menyeru penyokong fanatik parti Pas perlu bertaubat kerana mereka mengikuti ajaran Pas yang bertentangan dengan ajaran agama Islam bahawa orang Islam itu bersaudara.
“Tiada ada siapa yang boleh kafirkan orang Islam kerana berlainan politik. Hentilah sembahyang dua imam yang masih dilakukan di Terengganu,” katanya.
Bahkan Dr Mahathir juga mendakwa, dalam kebanyakan kawasan yang ditandingi oleh Pas, peranannya hanyalah sebagai pengacau iaitu pemecah undi pembangkang.
Katanya, tidak ada satu pun dari perjuangannya yang didakwa untuk Islam yang dapat dicapai olehnya sejak Pas ditubuh.
Kata Dr Mahathir lagi, kerjasama dengan DAP yang disebut oleh Pas sebagai, “tahaluf siyasi”, pun begitu bahasa Arab tidak menjadi sesuatu perbuatan itu halal dan Islam semata-mata kerana disebut dalam bahasa Arab.
Bagaimanapun, pada 16 Jun 2015, Setiausaha Agung DAP ketika itu, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan kepada media mengumumkan bahawa Pakatan Rakyat tidak lagi wujud.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, tindakan parti itu untuk mengenali realiti politik semasa. Beliau menambah terdapat keperluan untuk gabungan politik bahqru berdasarkan prinsip, dan bukannya kuasa. Sebaliknya, Pas menegaskan gabungan itu masih hidup.





