
KUCHING – Majlis malam penghargaan atlet bagi menghargai kontinjen negeri dan pemenang pingat Sukan Malaysia Ke-21 (SUKMA XXI) 2024 dijangka akan berlangsung pada minggu kedua bulan September.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata majlis tersebut sepatutnya diadakan secepat yang mungkin selepas berakhirnya SUKMA pada Sabtu yang lepas.
“Disebabkan jadual Premier yang begitu padat, maka majlis terpaksa ditangguhkan sehingga pada tarikh baru iaitu 14 September 2024,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian semasa sidang media Anugerah Pelancongan Kenyalang Sarawak ke-9, yang diadakan di Bangunan Baitulmakmur II di sini pada Isnin.
Selain itu, beliau berkata insentif untuk atlet yang telah memenangi acara sukan juga akan disampaikan semasa majlis makan malam tersebut.
“Ini merupakan satu majlis yang besar. Kita masih ada lebih kurang 20 hari lagi untuk membuat persiapan yang sewajarnya dan saya mahu majlis ini disambut dengan meriah,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, insentif yang diberikan akan diumum oleh Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak (SFS) semasa majlis penyerahan insentif pemenang pingat SUKMA.
“Saya percaya jumlah itu akan diumumkan kemudian oleh SFS, dan lebih baik kita mengumumkan berita tersebut semasa acara itu sendiri,” kata beliau lagi.
“Bagi acara individu, ia adalah mudah: RM15,000 untuk emas, RM5,000 untuk perak, dan RM3,000 untuk gangsa. Tetapi untuk acara berpasukan, terdapat sedikit perbezaan. Kita mempunyai kaedah untuk mengagihkan insentif untuk pemenang acara berpasukan. Bagi pemenang pingat emas dalam acara berpasukan, tiada atlet akan menerima kurang daripada RM3,000. Bagi perak, ia tidak kurang daripada RM2,000, dan gangsa, tidak kurang daripada RM1,000.
“Kita menyusunnya seperti ini kerana sebagai contoh, pemenang pingat perak bola tampar mempunyai 12 pemain dan pemain gantian. Jika kita bahagikan RM5,000 kepada mereka semua, mereka hanya akan menerima beberapa ratus ringgit sahaja bagi setiap seorang. Jadi, kerajaan Sarawak akan tambah nilai untuk memastikan setiap pemain menerima RM2,000,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menyatakan pihaknya akan turut membuat sesi “postmortem” bagi menambah baik beberapa acara sukan yang tidak mencapai sasaran masing-masing sepanjang SUKMA XXI.
“Kami mahu mereka terus memperbaiki diri dalam setiap sukan. Diharap selepas “postmortem” kelak, atlet-atlet ini lebih bersedia untuk ke tahap yang lebih baik,” tambah beliau lagi.







