
PUTRAJAYA – Sebagai negara ekonomi terbuka, Malaysia akan terus menyokong usaha Petroliam Nasional Bhd (Petronas) bagi menjalinkan kerjasama strategik dengan semua negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara ini termasuk menerusi peranan Petronas sebagai pemangkin matlamat pelepasan karbon sifar bersih.
“Malaysia juga komited untuk memacu agenda pembangunan mampan di rantau ini menjelang kepengerusian Asean pada tahun depan, termasuk menerusi peranan Petronas sebagai pemangkin matlamat pelepasan karbon sifar bersih.
“Saya percaya seluruh rakyat Malaysia berbangga dengan pencapaian Petronas yang berterusan menjadi antara perkara pokok dalam perbincangan dua hala antara saya dengan pimpinan dunia,” katanya di laman Facebook pada Sabtu.
Anwar juga yang Menteri Kewangan sebelum itu menghadiri majlis sambutan ulang tahun ke-50 Petronas bersama pemegang taruh dan rakan niaga dari lebih 27 negara di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, petang semalam.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pemegang taruh dan kakitangan Petronas yang menjadi tulang belakang ekonomi Malaysia.
“Saya zahirkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada semua pemegang taruh dan rakan niaga Petronas yang terus memberi sokongan dan berharap kerjasama ini akan terus diperkukuh.
“Semoga Petronas terus mencatat kejayaan membanggakan, Insya-Allah,” katanya.


