
KULAI – Bagai pucuk dicita, ulam mendatang. Demikian perumpamaan tepat buat seorang usahawan restoran di daerah ini apabila terpilih menerima bantuan peralatan oleh kerajaan negeri bagi merancakkan perniagaannya.
Pemilik Restoran Streetcrew di sini, Muhammad Jamil Zaini, 38, berkata, dia yang menceburi bidang perniagaan makanan sejak 2012 tidak menyangka permohonannya kepada Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB) itu berjaya apabila layak menerima unit sinki dapur, pengukus nasi dan peti sejuk beku.
“Jumlah bantuan diberikan kerajaan negeri bernilai RM3,500 ini umpama rezeki terpijak untuk saya. Malah, ia mendorong saya untuk lebih bersemangat meningkatkan kualiti penyediaan makanan di restoran ini.
“Sebelum ini, saya bermula sebagai peniaga makanan food truck sebelum mengembangkan bisnes di restoran ini.
“Sebaik mengetahui tentang bantuan yang disediakan kerajaan negeri untuk peniaga, saya cuba mohon kerana mendapati syarat-syarat ditetapkan sesuai antaranya inidividu itu perlu mempunyai perancangan perniagaan yang strategik,” katanya yang telah membuka operasi restoran berkenaan sejak 2015.

Jamil dalam pada itu meluahkan penghargaan kepada kerajaan negeri kerana memberikan perhatian terhadap permohonannya dan menasihatkan para usahawan lain di Johor supaya sentiasa mempunyai perancangan jelas merancakkan industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi meraih peluang yang sama.
Terdahulu, Jamil menerima bantuan peralatan perniagaan disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri, Mohd Hairi Md Shah sempena Jelajah Aspirasi Orang Muda Johor @ Kulai di Restoran Streetcrew, semalam.
PUJB merupakan badan bertanggungjawab dalam memperkasa peranan usahawan menerusi inisiatif yang disediakan Kerajaan Negeri.







