
KUCHING – Kerajaan Sarawak menegaskan mempunyai hak mengawal selia mineral bawah tanah dalam radius 200 batu nautika dari pantai negeri tersebut.
Sarawak menganggap pelantar benua sebagai sebahagian daripada wilayah negeri yang meliputi dasar laut dan tanah di bawahnya, yang dianggap sebagai ‘tanah negeri’ di bawah Kanun Tanah Sarawak. Pelantar benua dan sumber di dalamnya berada di bawah kawalan dan pengurusan kerajaan negeri, selaras dengan undang-undang negeri.
“Mengikut undang-undang di Sarawak, sempadan laut kita naik ke pelantar benua iaitu 200 batu nautika, bukan hanya beberapa batu. Ini bermakna kita mempunyai hak untuk mengawal apa yang berlaku dalam kawasan itu, dan ia dibenarkan oleh undang-undang,” ulas Timbalan Menteri di Pejabat Premier (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Di bawah MA63, Sarawak mempunyai autonomi dalam hal-hal berkaitan dengan tanah dan sumber asli, termasuk mineral di dasar laut. Sarawak menekankan bahawa isu sempadan dan kawalan sumber asli adalah perkara yang tidak boleh dirundingkan dalam perbincangan berkaitan MA63.
Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Zon Ekonomi Eksklusif 1984 memberikan rangka kerja undang-undang untuk tuntutan pelantar benua dan hak terhadap sumber di kawasan tersebut. Sarawak menegaskan perundangan persekutuan tidak harus menjejaskan hak dan kuasa negeri ke atas pelantar benua.
“Dengan semangat itu juga, kita akan terus memperjuangkan hak-hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang juga merupakan undang-undang sah,” katanya.
Secara sejarah, Sarawak mencapai konsensus mengenai hak untuk menguruskan dan menggunakan tanah pelantar benua selaras dengan Perlembagaan.
Semasa mesyuarat pertama Majlis Tenaga Negara, yang baru-baru ini dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara ini juga antara perkara yang dibincangkan. Kerajaan Sarawak bersedia bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk menggalakkan dan mengembangkan industri CCUS di negeri itu mengikut undang-undang.
Sarawak berpendirian teguh dalam mempertahankan haknya untuk mengawal selia sumber bawah tanah dalam radius yang dinyatakan, dengan menekankan pentingnya menghormati perjanjian dan undang-undang yang mengiktiraf autonomi negeri dalam hal ini.


