PASIR GUDANG – UMNO mungkin tidak ada lagi hari ini jika memilih untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan bersama-sama Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tindakan UMNO bersetuju untuk menubuhkan kerajaan bersama-sama Pakatan Harapan (PH) dilihat tepat menerusi pembentukan jajaran politik baharu tanah air.
Malah katanya, pembentukan Kerajaan Perpaduan juga dilihat tidak menggadaikan prinsip dan nilai perjuangan UMNO yang didukung sejak penubuhannya.
“Semua pihak dalam UMNO di negeri ini perlu faham parti itu diasaskan daripada perjuangan kebangsaan yang berjaya memberikan kemerdekaan dan membawa pembangunan di negara ini.
“UMNO adalah parti yang berasaskan perjuangan nasionalisme dan bukan perjuangan untuk negeri dan tidak sekali-kali meminggirkan atau meninggalkan perjuangannya walaupun berada dalam Kerajaan Perpaduan.
“Dalam Kabinet kita akan cakap terus terang, boleh kita kata boleh, tidak boleh kita kata tidak boleh,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Mohamed Khaled berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Besar Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Seri Alam di sini, hari ini.
Mohamed Khaled berkata demikian bagi mengulas usul dari beberapa UMNO bahagian di negeri ini – antaranya di Tenggara dan Kluang – yang mahu parti itu memutuskan hubungan dengan PH, terutama DAP kerana dilihat merugikan UMNO dan orang Melayu.
Dalam masa sama, Mohamed Khaled mengakui sebelum ini DAP banyak menyentuh pelbagai perkara sensitif bagi orang Melayu tetapi sekarang tidak lagi.
Ini kerana menurutnya, DAP perlu berfikir banyak kali sebelum membuat kenyataan kerana sudah bersama-sama UMNO dalam kerajaan.
“Saya ingat kita tidak boleh kembali semula untuk 30, 50 atau 60 tahun lagi, kita tidak akan ke mana dan akan lenyap daripada politik tanah air, kena ingat itu.
“UMNO nak keluar (daripada Kerajaan Perpaduan) macam kuat sangat,” katanya.

