
SRI AMAN – Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) N.31 Bukit Begunan menyatakan sokongan penuh terhadap pencalonan semula Datuk Mong Dagang sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Begunan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Menurut kenyataan sayap pemuda berkenaan, sokongan itu dibuat berdasarkan keyakinan terhadap pengalaman kepimpinan serta komitmen Mong dalam memperjuangkan kepentingan rakyat dan meneruskan agenda pembangunan kawasan berkenaan.
“Sokongan ini berteraskan keyakinan kami terhadap pengalaman, kepimpinan dan komitmen Datuk Mong Dagang dalam membawa suara rakyat serta meneruskan agenda pembangunan demi kesejahteraan masyarakat di kawasan Bukit Begunan,” menurut kenyataan itu.
Pemuda PRS Bukit Begunan turut menekankan kepentingan kesinambungan kepimpinan berpengalaman yang disokong semangat perpaduan dan kerjasama masyarakat bagi memastikan pembangunan kawasan terus diberikan perhatian.
Menurut kenyataan itu, penglibatan golongan muda juga penting dalam membawa aspirasi generasi baharu serta memastikan keperluan masyarakat setempat terus diketengahkan.
Sebagai sayap pemuda parti, mereka turut menyatakan komitmen untuk memperkukuh perpaduan dan gerak kerja organisasi menjelang pilihan raya negeri akan datang.
Terdahulu, PRS Bahagian Bukit Begunan pada Mesyuarat Agung Tahunannya pada 12 Oktober lalu turut meluluskan resolusi menyokong pencalonan semula Mong bagi mempertahankan kerusi berkenaan.
Mong yang juga Pengerusi PRS Bahagian Bukit Begunan sebelum ini menyatakan hasrat untuk mempertahankan kerusi tersebut pada PRN akan datang.
Beliau merupakan antara pemimpin berpengalaman di kawasan itu selepas mula dipilih sebagai wakil rakyat Bukit Begunan pada 1996 dan memenangi kerusi berkenaan sebanyak tujuh kali, termasuk pilihan raya kecil pada 1997.
Bagaimanapun, sokongan yang dinyatakan Pemuda PRS dan kepimpinan bahagian itu belum merupakan pengesahan rasmi pencalonan Mong sebagai calon GPS pada PRN Sarawak Ke-13.

