
IPOH – Sebanyak 1,105 buah sekolah di seluruh Perak mula beroperasi sempena pembukaan Sesi Persekolahan 2026 yang bermula pada Isnin dengan proses hari pertama persekolahan dilaporkan berjalan lancar.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, kelancaran itu hasil kesiapsiagaan awal Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh negeri bagi menangani isu-isu khusus yang berpotensi menjejaskan pengoperasian sekolah.
Menurutnya, antara langkah awal yang telah diambil termasuk menyelesaikan isu kekurangan kerusi, meja serta penempatan guru bagi memastikan suasana pembelajaran yang kondusif dapat diwujudkan sejak hari pertama persekolahan.
“Saya dimaklumkan JPN Perak dan PPD telah mengambil langkah awal dalam menyelesaikan isu-isu seperti kekurangan perabot dan guru. Sehubungan itu, saya berharap pengoperasian sekolah dapat berjalan lancar dan murid-murid dapat belajar dalam suasana kelas yang kondusif,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau hari pertama sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gajah, SK Belanja Kiri dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa, Parit.
Khairudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja turut merakamkan ucapan selamat kembali ke sekolah kepada warga pendidik serta murid-murid di seluruh Perak.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan Perak, Zulkafli Mohamed berkata, sebanyak 252 sekolah di negeri ini dikenal pasti sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM) bagi sesi akademik 2026, melibatkan kesemua 12 daerah.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, 70 adalah SJKC, 91 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), 79 SK serta 12 Sekolah Kebangsaan Orang Asli.
“Antara faktor utama yang menyumbang kepada situasi ini adalah faktor sejarah dan geografi, selain penghijrahan penduduk yang menyebabkan kemasukan murid ke sekolah rendah semakin berkurangan,” katanya ketika ditemui media di Kuala Kangsar.
Mengulas situasi keseluruhan pembukaan sekolah, beliau berkata seramai 348,594 murid memulakan sesi persekolahan 2026 yang disokong oleh 38,036 orang guru membabitkan sekolah rendah dan menengah.
Daripada jumlah tersebut, seramai 16,282 adalah murid prasekolah manakala 30,456 murid mendaftar sebagai murid Tahun Satu.






