
KINABATANGAN – Keperluan mewujudkan sebuah kompleks sukan mini di kawasan Lamag dikenal pasti sebagai keutamaan bagi memperkasa pembangunan belia dan komuniti setempat.
Calon BN DUN Lamag, Mohd Ismail Ayob (MIHA) berkata, melalui penglibatan bersama masyarakat dan belia yang digerakkan menerusi badan bukan kerajaan (NGO), pelbagai masalah dan keperluan rakyat di Lamag diberi perhatian khususnya berkaitan kekurangan prasarana sukan.
“Lamag sememangnya menjadi tumpuan aktiviti komuniti termasuk di Kampung Kasih Sayang dan kampung-kampung sekitar di mana kanak-kanak dan belia aktif bermain bola tampar dan sepak takraw.
“Melalui kemudahan mini kompleks yang perlu diwujudkan di Lamag ini, ia memudahkan anak-anak ini (belia) dapat mengasah bakat selain beriadah dan bersukan,” katanya kepada media selepas beriadah bersama komuniti Kampung Kasih Sayang, pada Ahad.
Dalam pada itu MIHA turut memberi penekanan kepada isu jalan raya dan peluang pekerjaan turut akan diberi perhatian.
“Dalam manifesto saya juga, perkara ini disentuh antara lain Bukit Garam ini sebagai pusat pelancongan yang secara tidak langsung membawa kepada peluang pekerjaan kerana kita sedia maklum ramai belia bekerja di semenanjung.
“Apabila perkara ini dapat dilaksana, ia juga membuka peluang perniagaan kepada penduduk di sini,” jelasnya.






