
KOTA MARUDU – Calon PH di DUN Bandau, Zaidi Jatil mahu menghidupkan semua perkhidmatan kereta percuma ke hospital yang sebelum ini pernah dilaksanakan olehnya menerusi Persatuan Kebajikan Kesejahteraan Sabah yang dipengerusikannya sendiri.
Zaidi berkata, beliau akan menyediakan dua buah van untuk kegunaan menghantar masyarakat yang memerlukan perkhidmatan kenderaan secara percuma ke hospital.
“Apabila kita menang pada 29 ini masuk sahaja peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada Januari atau Februari kita akan beli dua buah van.
“Van baharu ini kita akan gunakan untuk masuk kampung-kampung apabila menerima panggilan daripada orang kampung untuk kita bawa, ambil ke rumah hantar ke hospital dan dari hospital hantar ke rumah mengikut masa yang sesuai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Program Sukan di Pekan Lama, di sini pada Sabtu.
Zaidi berkata, beliau melihat perkara ini sebagai satu keperluan yang mana beliau mendapat banyak permintaan daripada masyarakat untuk melaksanakan semula perkhidmatan kereta percuma ke hospital yang dilaksanakannya sebelum ini.
“Saya nampak melibatkan warga emas dan OKU kawasan luar bandar memang sangat memerlukan khususnya mereka yang cuci buah pinggang seminggu tiga kali dan sebagainya.
“Itu kos perbelanjaannya agak tinggi dan ini sangat membantu,” ujarnya.
Selain itu, kata Zaidi, beliau juga mahu menyediakan dua lagi van untuk kegunaan pengangkutan jenazah yang juga akan beroperasi secara percuma.
“Kita juga akan wujudkan dua kenderaan percuma untuk membantu keluarga-keluarga yang ditimpa musibah, kesusahan.
“Ada yang mungkin meninggal di kawasan Kota Kinabalu, Keningau ini sering meminta kita pertolongan kewangan untuk bawa balik ke Kota Marudu dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya diberikan mandat, pihaknya akan menyediakan empat buah van baharu bagi kemudahan masyarakat yang mana dua daripanya bagi membawa pesakit ke hospital dan dua lagi untuk pengurusan jenazah melibatkan masyarakat Islam serta bukan Islam.
Tambahnya, langkah itu bertujuan untuk memudahkan urusan kecemasan serta kebajikan penduduk setempat.





