
ADA kisah kecil yang tidak sempat saya optikkan di lensa kamera.
Dalam perjalanan pulang, saya melihat dengan mata kepala sendiri seorang lelaki warga tempatan, usianya mungkin sekitar 50-an.
Wajahnya biasa, berpakaian sederhana. Sepertinya bukan orang besar atau orang berkedudukan.
Selepas mengepam minyak motornya, dia memanggil seorang pekerja asing, entah warga Bangladesh atau Myanmar, dia berkata dalam nada yang sarat dengan rasa bangga akan kewarganegaraannya.
“Saya boleh beli minyak murah, sebab ada ni,” katanya sambil mengangkat kad pengenalan (MyKad) di tangannya.
“You orang tak boleh. Saya boleh.”
Ringkas.
Saya sedar pada saat itu, MyKad itu bukan sekadar kad plastik. Ianya adalah simbol hak warganegara.
Simbolik kepada sebuah pengiktirafan, bahawa menjadi warganegara Malaysia masih membawa makna.
Di sinilah letaknya sisi yang jarang dibicarakan,
Kerajaan MADANI pimpinan Anwar cuba mengangkat martabat warganegara, membezakan siapa yang berhak, dan siapa yang hanya menumpang rezeki di negara ini.
Prinsip yang sama terpancar dalam kisah Makcik Aminah Sulaiman. Seorang perempuan tua, yang tidak pernah faham istilah ‘fiscal consolidation’, ‘targeted subsidy’ atau istilah kewangan lainnya.
Tetapi hari ini, dengan hanya menunjukkan MyKad, dia boleh mendapatkan bekalan makanan asas untuk meneruskan hidup.
Tidak perlu merayu. Tidak perlu bergantung ihsan. Tidak perlu menebalkan muka meminta-minta. Tidak perlu mengisi apa-apa borang atau melalui karenah birokrasi.
Hak itu datang bersama status kewarganegaraannya.
SARA akan dikreditkan pada 9/2/26 ini, secara automatik ke semua MyKad rakyat berumur 18 tahun ke atas.
Bagi yang tidak memerlukan SARA, ianya boleh digunakan untuk bersedekah kepada mereka yang memerlukan.
Ini mewujudkan rantaian situasi yang unik, kerana dengan sendirinya rakyat tergerak untuk saling membantu, saling menghargai.
Inilah tiang seri Malaysia MADANI itu sendiri, tidak dilihat dengan mata kasar tetapi inisiatifnya dapat dirasai oleh setiap individu.
Banyak kisah rakyat yang terlepas dari lensa media, tapi berlaku secara realiti ‘MADANI’ itu sendiri dalam hidup kita sehari-hari.
Syukurilah dan bersama kita bangunkan negara ini.
*Suwadi Guliling ialah Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)





