Anwar-Modi adakan pertemuan empat mata

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan empat mata dengan rakan sejawatnya dari India, Narendra Modi di Kompleks Seri Perdana, di sini.

Modi tiba di Seri Perdana jam 9.35 pagi dan disambut Anwar, sebelum diikuti dengan persembahan kebudayaan sebagai penghormatan kepada pemimpin itu.

Perdana Menteri India berada di Malaysia untuk lawatan rasmi dua hari sejak semalam atas undangan Anwar.

Antara menteri Kabinet hadir sama adalah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan selaku menteri pengiring, serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar turut sama dalam pertemuan itu, lapor Bernama.

Mesyuarat antara Malaysia dan India memberikan tumpuan kepada pengukuhan Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) antara kedua-dua negara, dengan perbincangan merangkumi kerjasama dalam perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan, tenaga kerja, pelancongan, kesalinghubungan, pertanian serta pendidikan, selain isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dijangka ditandatangani susulan mesyuarat berkenaan sebagai bukti komitmen bersama kedua-dua negara untuk memperdalam kerjasama dua hala dalam sektor utama.

MoU juga melibatkan usaha membanteras dan mencegah rasuah, piawaian latihan, pensijilan dan pengawasan untuk pelaut, serta pengurusan bencana.

Dokumen tambahan lain termasuk perjanjian dalam bidang penerbitan audio visual, memorandum kerjasama dalam bidang tenaga kerja, pertukaran nota berkaitan semikonduktor, kesihatan, keselamatan negara dan TVET, pertukaran surat mengenai kerjasama pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta penyerahan perjanjian rangka kerja mengenai International Big Cats Alliance.

Susulan pertukaran MoU, kedua-dua pemimpin dijangka mengadakan sidang media bersama bagi menegaskan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh hubungan dua hala dan memajukan kerjasama demi manfaat bersama.

Lawatan ini adalah kunjungan ketiga Modi ke Malaysia dan yang pertama sejak hubungan dua hala antara Malaysia dan India dinaikkan ke tahap CSP pada Ogos 2024.

Related Posts

ECRL perlu kaji semula cadangan 70 peratus kargo, 30 peratus penumpang

KUANTAN – Cadangan operasi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang tidak seimbang antara pengangkutan kargo dan penumpang dibimbangi tidak dapat memberi manfaat signifikan kepada orang ramai. Menteri Besar Pahang,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Peruntukan pembangunan Kelantan dinaikkan kepada RM8 bilion – PM

KOTA BHARU – Kerajaan Persekutuan menambah peruntukan pembangunan untuk Kelantan daripada RM3 bilion kepada RM8 bilion sebagai bukti keprihatinan terhadap pembangunan negeri itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Nyatakan alasan kukuh tunda sidang DUN – Fathul Bari

Nyatakan alasan kukuh tunda sidang DUN – Fathul Bari

Jeti haram, pelancong berisiko: KePKAS bertindak tegas bersih Semporna

Jeti haram, pelancong berisiko: KePKAS bertindak tegas bersih Semporna

‎Koperasi pemacu ekonomi rakyat, sumbang RM81.62 bilion – KUSKOP ‎

‎Koperasi pemacu ekonomi rakyat, sumbang RM81.62 bilion – KUSKOP ‎

ECRL perlu kaji semula cadangan 70 peratus kargo, 30 peratus penumpang

ECRL perlu kaji semula cadangan 70 peratus kargo, 30 peratus penumpang

Inisiatif Rumah Bangsa perkukuh perpaduan UMNO – Wan Rosdy

Inisiatif Rumah Bangsa perkukuh perpaduan UMNO – Wan Rosdy

Peruntukan pembangunan Kelantan dinaikkan kepada RM8 bilion – PM

Peruntukan pembangunan Kelantan dinaikkan kepada RM8 bilion – PM