PUTRAJAYA – Rakyat Malaysia yang berada di Iran dinasihatkan meninggalkan negara tersebut serta-merta melalui ‘apa jua kaedah selamat’ memandangkan keadaan semakin meruncing susulan konflik Iran-Israel.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Teheran sedang memantau rapi perkembangan keselamatan di negara tersebut.
Kenyataan itu memaklumkan, usaha dipertingkatkan susulan tindakan agresif rejim Israel terhadap Iran pada 13 Jun lalu yang memburukkan lagi ketegangan di rantau berkenaan.
“Situasi semasa sangat tidak menentu dan berpotensi menjadi lebih buruk tanpa sebarang amaran awal.
“Keselamatan serta kebajikan rakyat Malaysia kekal menjadi keutamaan kementerian ini.
“Buat masa ini, Kedutaan Besar Malaysia di Teheran berhubung rapat dengan semua rakyat Malaysia yang berdaftar di Iran.
“Kesemua mereka disahkan selamat dan dinasihatkan untuk meninggalkan Iran dengan segera.
“Kedutaan Besar Malaysia akan terus menyediakan bantuan konsular yang diperlukan bagi memudahkan proses perjalanan mereka dari Tehran,“ katanya.
Media antarabangsa melaporkan, sebanyak 21 negara Arab dan Islam mengeluarkan kenyataan bersama mengecam serangan udara Israel ke atas Iran serta menyeru agar ketegangan serantau ditangani, pelucutan senjata nuklear dilaksanakan tanpa pilih kasih dan undang-undang antarabangsa dihormati.
Wisma Putra turut memaklumkan, kementerian mengaktifkan bilik gerakan berkuat kuasa hari ini sebagai langkah berjaga-jaga.
“Sekiranya berlaku kecemasan, rakyat Malaysia di Iran boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tehran beralamat No. 25, 2nd Alley, North Zarafshan St., Shahrak-e-Gharb atau +98 21 8807 2444, +98 21 8807 8606 dan +98 933 535 2602.
“Boleh juga emel mwtehran@kln.gov.my atau mwconsular.teh@gmail.com,“ kata kenyataan itu lagi.





