
SANDAKAN – Parti Warisan tumbang akibat budaya lompat parti yang mereka sendiri mulakan, kata Ahli Parlimen Libaran merangkap Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir.
Menurut beliau, kerajaan yang dibina atas dasar pengkhianatan tidak akan mampu bertahan lama kerana tidak berlandaskan kepercayaan rakyat.
“Warisan membentuk kerajaan pada 2018 bukan melalui mandat rakyat, tetapi hasil pengkhianatan enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang melompat parti.
“Akibatnya, Sabah menyaksikan pentadbiran paling tidak stabil dalam sejarah,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Khamis.
Suhaimi berkata, sepanjang 26 bulan pemerintahan Warisan, dasar kerajaan sering berubah sehingga menjejaskan keyakinan pelabur dan menyebabkan pembangunan negeri terhenti separuh jalan.
“Ketika rakyat berdepan kesukaran ekonomi dan pandemik COVID-19, kepimpinan Warisan pula sibuk berebut kuasa. Ini menyebabkan pentadbiran negeri lumpuh,” jelasnya.
Beliau menambah, kewujudan undang-undang anti-lompat parti selepas kejatuhan Warisan menjadi bukti jelas bahawa tindakan parti itu telah merosakkan integriti sistem demokrasi negara.
“Peribahasa Melayu menyebut, rumah tanpa tiang akan roboh.
“Begitulah Warisan kerajaan tanpa tiang kepercayaan rakyat.
“Mereka bukan pagar menjaga padi, tetapi pagar yang memakan padi,” katanya.
Menurut Suhaimi, Warisan perlu bermuhasabah dan menyedari bahawa kegagalan mereka berpunca daripada kerakusan sendiri, bukan disebabkan pihak lain.
Katanya lagi, BN Sabah komited mempertahankan kestabilan politik dan menolak amalan khianat yang hanya memecah-belahkan rakyat.
“Sabah tidak boleh lagi dijadikan pentas politik katak.
“Rakyat sudah muak dengan kerakusan kuasa. Hanya kerajaan yang stabil dan berprinsip mampu membawa Sabah ke arah kemajuan sebenar,” tegasnya.







