
KOTA SAMARAHAN – Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) diyakini mampu muncul sebagai pusat kecemerlangan bahasa terunggul di rantau ini menerusi pelaksanaan pelbagai strategi dan inisiatif berterusan dalam bidang pengajian, penyelidikan serta penerbitan akademik bahasa, pendidikan dan komunikasi.
Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr Awang Sariyan berkata, Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi (FPBK) UNIMAS mempunyai potensi besar untuk memperluas jaringan kerjasama akademik di peringkat antarabangsa.
“FPBK dan saya kini sedang dalam perbincangan intensif untuk membuka ruang kolaborasi bersama institusi pengajian antarabangsa di China, Jerman dan Jepun yang menawarkan kursus Bahasa Melayu.
Setakat ini, terdapat 12 institusi di China yang menawarkan kursus Bahasa Melayu, dan saya yakin UNIMAS boleh membuka pengajian Bahasa Melayu di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Profesor Adjung bertajuk “Peranan Bahasa dalam Pembinaan Tamadun” di UNIMAS, pada Selasa.
Mengulas lanjut mengenai potensi Sarawak sebagai ekosistem strategik bagi pengembangan ilmu bahasa, Awang menegaskan bahawa kekayaan bahasa etnik dan suku di negeri ini wajar dijadikan kekuatan utama dalam memperkukuh identiti serta kelestarian budaya tempatan.
“Kekuatan Sarawak dari segi bahasa ialah kekayaan bahasa etnik dan suku yang perlu dipertahankan dan dilestarikan,” katanya ketika menjawab soalan pelajar, Camelia Nazwa, 21.
Sementara itu, menjawab pertanyaan pelajar Esther Shannen, 21, beliau menasihatkan mahasiswa FPBK agar mengoptimumkan pembelajaran di luar bilik kuliah melalui budaya menulis dan kumpulan belajar kecil.
“Kuliah tidak mungkin mencakupi seluruh ilmu. Jadi yang terbaik ialah berkongsi dalam kumpulan belajar kecil.
Selain itu, pelajar bahasa perlu menulis kerana menulis itu amalan ilmu. Bila kita menulis, kita bukan sahaja berkongsi ilmu tetapi juga menemui keseronokan dalam proses itu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dekan FPBK, Dr Dilah Tuah, dalam ucapan penangguhan, menggalakkan mahasiswa dan mahasiswi memulakan penulisan di majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) seperti Dewan Bahasa, Dewan Masyarakat, Dewan Budaya dan Dewan Kosmik.
“Langkah ini bukan sahaja membuka peluang pendapatan sampingan melalui honorarium, malah memberi ruang kepada pelajar untuk diiktiraf melalui penulisan di peringkat negeri dan kebangsaan,” katanya.

Program yang berlangsung di SPACE FPBK UNIMAS itu dihadiri lebih 200 pelajar daripada program linguistik, komunikasi dan pendidikan.
Datuk Seri Prof. Emeritus Dr Awang Sariyan dilantik sebagai Profesor Adjung FPBK sejak Mei 2025, dan pihak fakulti yakin kepakaran serta jaringan kepemimpinan intelektual beliau akan memperkukuh kerjasama strategik UNIMAS dengan institusi tempatan dan antarabangsa.





