ARAU – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah pemacu utama pembangunan negara yang melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, berdaya tahan dan mampu bersaing di peringkat global.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, dunia pekerjaan masa kini menuntut graduan menguasai kemahiran baharu seperti automasi, digitalisasi, kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh baharu serta inovasi keusahawanan.
“Generasi TVET adalah tonggak penting yang akan menggerakkan ekonomi negara kerana kemahiran tradisional semata-mata tidak lagi memadai,” titah baginda sempena Majlis Konvokesyen Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Ke-17 dan Kolej Komuniti Arau 2025 di sini hari ini.
Menurut baginda, graduan TVET akan menjadi tenaga penggerak dalam membina infrastruktur moden, memperkasa industri digital, meningkatkan produktiviti pertanian serta memacu pertumbuhan ekonomi hijau dan lestari.
Dalam masa sama, baginda mengingatkan bahawa segulung diploma atau sijil bukanlah noktah akhir perjuangan, sebaliknya permulaan kepada perjalanan hidup yang lebih mencabar.
“Ilmu pengetahuan sentiasa berkembang, teknologi terus berubah dan hanya mereka yang sanggup belajar sepanjang hayat akan terus relevan,” titah baginda.
Raja Perlis menzahirkan harapan agar graduan bukan sahaja bijak dalam bidang teknikal, tetapi juga berani membuat keputusan, berintegriti dan memiliki semangat kepimpinan serta keusahawanan.
Baginda menegaskan, pembelajaran sepanjang hayat perlu dijadikan budaya supaya graduan dapat menyesuaikan diri dengan perubahan pesat teknologi dan keperluan industri.
Dalam titahnya juga, baginda merakamkan penghargaan kepada warga akademik serta pentadbir PTSS dan Kolej Komuniti Arau atas dedikasi mendidik pelajar, menyifatkan peranan mereka sebagai amal jariah yang besar nilainya.
Majlis konvokesyen itu menyaksikan ribuan graduan diraikan dalam suasana penuh meriah, sekali gus menandakan kesinambungan peranan institusi TVET sebagai penyumbang utama kepada kemajuan negara.





