
KANGAR – Seorang lelaki yang bekerja sebagai tukang kebun di sebuah agensi kerajaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar hari ini atas dua pertuduhan berkaitan samun dan pemilikan senjata berbahaya.
Tertuduh, Mohd. Khairi Mat Puhat, 38, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Alif Farhan Hassan manakala tertuduh diwakili dua peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Siti Hajar Che Ahmad dan Afida Nurizzatie Abdul Lateh.
Mengikut pertuduhan pertama, Mohd. Khairi didakwa memiliki sebilah pisau tanpa alasan yang sah di kawasan tandas awam bersebelahan tempat letak kereta Pasar Pagi Medan Mahkota pada jam 8.30 pagi, 15 Jun lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika disabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan rompakan dan mencederakan seorang wanita berusia 49 tahun, Yap Beng Fong, di lokasi dan masa yang sama. Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan turut berdepan denda atau sebatan.
Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan, namun pihak pembelaan merayu agar jumlah itu dikurangkan kerana tertuduh hanya bekerja sebagai tukang kebun dengan pendapatan tidak tetap serta menanggung empat orang tanggungan.
Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan. Bagaimanapun, tertuduh gagal membayar jaminan tersebut.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 21 Julai depan.







