
KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyeru semua mahasiswa agar mengutamakan keselamatan diri dan membuat pertimbangan bijak sebelum terlibat dalam perhimpunan awam, susulan penganjuran Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah 2.0 yang dijadual berlangsung hujung minggu ini.
Dalam kenyataan media pada Jumaat, UMS berkata, pihak universiti menghormati kebebasan bersuara mahasiswa seperti yang termaktub di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).
Bagaimanapun, UMS menggalakkan pandangan disuarakan secara bertanggungjawab melalui saluran rasmi seperti Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar.
“UMS menekankan keutamaan terhadap keselamatan, kebajikan, prestasi pembelajaran serta reputasi institusi.
“Justeru, pihak universiti menasihati semua mahasiswa agar membuat pertimbangan yang bijak, mengutamakan keselamatan diri dan memberi fokus terhadap pembelajaran menjelang musim peperiksaan akhir semester yang semakin hampir,” menurut kenyataan itu.
UMS turut merujuk kenyataan media Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu yang menyatakan tiada halangan terhadap penganjuran perhimpunan tersebut selagi penganjur mematuhi syarat dan tidak menyentuh isu 3R (kaum, agama dan institusi diraja).
Tambah kenyataan itu lagi, penyertaan dalam perhimpunan adalah atas keputusan peribadi masing-masing dan sebarang risiko yang timbul menjadi tanggungjawab individu.
UMS berharap mahasiswa terus memanfaatkan ruang ilmu dengan cara berhemah dan profesional, sejajar dengan peranan universiti sebagai institusi pengajian tinggi yang mementingkan keharmonian dan kestabilan.







