
PUTRAJAYA – Perbandingan antara pengampunan penuh yang diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2018 dengan keputusan melibatkan Datuk Seri Najib Razak adalah tidak tepat dari sudut perlembagaan dan undang-undang.
Pengamal undang-undang, Dr Zulqarnain Lukman berkata, walaupun persoalan yang dibangkitkan kelihatan munasabah di mata awam, hakikatnya kedua-dua kes tersebut berada dalam kategori perundangan yang berbeza.
Menurut beliau, pengampunan penuh ke atas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dibuat secara sah di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan telah disahkan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim v Mohd Khairul Azam Abdul Aziz pada 2023.
“Dalam kes tersebut, pengampunan penuh ke atas Anwar telah dicabar namun, Mahkamah Rayuan menegaskan bahawa pengampunan tersebut dibuat secara sah menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Perintah pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V, secara nyata menyatakan bahawa Anwar diberikan pengampunan penuh dan dianggap sebagai seorang yang tidak pernah melakukan sebarang kesalahan, selain dibebaskan serta-merta.
“Lebih penting, rekod Mahkamah Tinggi dalam kes Mohd Khairul Azam Abdul Aziz v. Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan & Anor [2020] MLRHU 1326 menunjukkan Lembaga Pengampunan telah bersidang secara teratur dengan kehadiran wakil Peguam Negara dan Perdana Menteri selaku Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, selaras Perintah Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan 2018,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Rabu.
Sebaliknya, Zulqarnain menegaskan kes Najib dalam kategori berbeza kerana hanya melibatkan keputusan remisi hukuman, bukan pengampunan penuh.
Katanya, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan secara rasmi memutuskan untuk mengurangkan tempoh pemenjaraan bekas Presiden UMNO itu sebanyak 50 peratus serta menurunkan jumlah denda.
“Keputusan itu telah disahkan dan diuji di mahkamah dalam kes Badan Peguam Malaysia v Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan pada 2024.
“Mahkamah menegaskan pendirian konsisten bahawa keputusan Lembaga Pengampunan yang dibuat secara teratur adalah muktamad dan tidak boleh dicabar,” katanya.
Sehubungan itu, Zulqarnain berpandangan, penolakan permohonan Titah Adendum bekas Perdana Menteri oleh Hakim Alice Loke bukanlah satu penolakan terhadap kuasa Raja-Raja Melayu, sebaliknya berpaksikan kepada isu prosedur perlembagaan.

“Mahkamah mendapati bahawa Titah Adendum tersebut tidak dibuat dalam mesyuarat rasmi Lembaga Pengampunan, dan oleh itu tidak memenuhi kehendak Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan
perintah tahanan rumah tidak mempunyai asas perundangan atau mekanisme pelaksanaan dalam sistem undang-undang Malaysia.
“Isu Titah Adendum ini adalah persoalan baharu kerana belum wujud kes terdahulu melibatkan titah tambahan yang dibuat di luar mesyuarat Lembaga Pengampunan sebagai pelengkap kepada keputusan sedia ada.
“Sekiranya pengampunan penuh atau perintah tahanan rumah tersebut diputuskan secara rasmi dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan, maka keputusan itu hampir pasti tidak boleh dicabar, selaras dengan prinsip yang telah lama dipertahankan oleh mahkamah,” katanya.
Tambahnya, mahkamah bertanggungjawab di bawah Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan untuk memastikan setiap kuasa perlembagaan dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Kata Zulqarnain, ini membuktikan perbandingan antara kes Anwar dan Najib adalah tidak tepat kerana perbezaan utama terletak pada prosedur dan bentuk keputusan yang dibuat, bukan pada individu yang terlibat.
“Keputusan Mahkamah dalam kes ini tidak mencabar kewibawaan institusi Raja-Raja Melayu. Sebaliknya, ia menegaskan bahawa setiap kuasa perlembagaan mesti dilaksanakan secara teratur dan berlandaskan undang-undang.
“Sejarah perundangan Malaysia menunjukkan bahawa Mahkamah sentiasa mempertahankan keputusan Lembaga Pengampunan yang dibuat secara sah dan mematuhi prosedur,” katanya.
Pada Isnin, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman bekas Perdana Menteri berhubung dakwaan titah adendum, selepas mendapati isu itu tidak dibincang atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 pada 29 Januari 2024, sekali gus mengesahkan beliau perlu menjalani baki hukuman di Penjara Kajang.
Keputusan itu menimbulkan pelbagai reaksi dengan sebahagian memberi sokongan manakala sebahagian lain melahirkan kekecewaan terhadap hasilnya.
Dalam satu kenyataan, Perdana Menteri, Anwar turut menegaskan badan kehakiman mesti dan akan terus bebas daripada sebarang pengaruh luar dan kerajaan menghormati keputusan mahkamah dan menggesa semua pihak agar tidak menimbulkan spekulasi atau dakwaan yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman.





