PUTRAJAYA – Seramai 234 mangsa banjir daripada 65 keluarga masih berlindung di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah, Pahang, Selangor dan Sarawak, setakat pagi tadi.
Portal Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat merekodkan, situasi banjir di empat negeri semakin pulih, dengan Sabah merekod jumlah teramai dengan 117 mangsa daripada 36 keluarga.
Ia diikuti Pahang dengan 78 mangsa dari 22 keluarga, 21 mangsa dari empat keluarga (Selangor) serta 18 mangsa dari tiga keluarga di Sarawak.
Dari segi taburan pecahan mangsa, 144 mangsa terdiri dari lelaki dan wanita dewasa termasuk 32 warga emas, sementara 83 lagi kanak-kanak dan tujuh bayi.
Hujan lebat dan berpanjangan ekoran monsun timur laut di beberapa negeri pada penghujung bulan lalu mengakibatkan beberapa kawasan dinaiki air.
Kemuncak situasi banjir itu iaitu pada 26 November lalu menyaksikan lebih 21,000 mangsa dipindahkan ke PPS.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) semalam melaporkan, analisis terhadap model cuaca terkini menunjukkan luruan monsun dijangka berlaku esok hingga Isnin depan.
Keadaan ini berpotensi menyebabkan hujan berterusan di timur Semenanjung dalam tempoh berkenaan.
Pada masa yang sama, angin kencang dan laut bergelora juga dijangka berlaku di Laut China Selatan.
Sehubungan dengan itu, METMalaysia memberi amaran hujan berterusan (Waspada) dikeluarkan bagi Kelantan dan Terengganu, berkuat kuasa esok sehingga Ahad, sementara bagi Pahang dan Johor pula berkuat kuasa Jumaat hingga Selasa depan.





