
KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri tidak menolak kemungkinan melaksanakan pemotongan gaji menteri sekiranya keadaan ekonomi negara bertambah meruncing susulan konflik di Asia Barat.
Beliau berkata, pelaksanaan langkah itu bagaimanapun tertakluk kepada keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya sedia terima apa-apa arahan. Memang selama ini pun… sejak hari pertama, gaji kami telah dipotong.
“Kita pernah bincang (potong gaji) tapi terpulang kepada Perdana Menteri, apa yang dia nak kita laksanakan,” katanya selepas merasmikan Kempen Kesedaran Kesihatan Awam Universiti Malaya (UM) di Pantai Dalam, di sini hari ini.
Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata, kerajaan tiada halangan untuk mempertimbangkan pemotongan gaji menteri Kabinet sekiranya keadaan ekonomi negara semakin meruncing.
Perdana Menteri turut dilaporkan menyatakan beliau sendiri tidak mengambil gaji, namun menegaskan gaji menteri Kabinet adalah hak masing-masing selagi mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik.
Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan penyelarasan kenyataan berkaitan isu global termasuk konflik Asia Barat dilaksanakan secara berperingkat bermula di peringkat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) sebelum dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri.
Beliau berkata, sebuah pusat arahan komunikasi atau Communications Command Centre (CCC) turut diwujudkan bagi memastikan penyampaian maklumat kerajaan lebih terselaras dan jelas.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan rakyat menerima maklumat sahih dan seragam, khususnya dalam situasi krisis yang memerlukan penjelasan daripada kerajaan.
“CCC ini membabitkan setiausaha akhbar menteri-menteri daripada kementerian berkaitan seperti Wisma Putra, Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan, Kementerian Komunikasi dan lain-lain.
“Sekiranya timbul sebarang perkara yang perlu diselaras, pihak CCC akan memainkan peranan untuk memastikan mesej yang disampaikan adalah tepat dan tidak bercanggah,” katanya.





