PUTRAJAYA – Kenyataan peguam Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkaitan keputusan mahkamah terhadap Titah Adendum disifatkan seolah-olah cuba mengelirukan tafsiran Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berkata, Muhammad Shafee dengan mudah mengabaikan perkataan penting dalam Perkara 42 iaitu perkataan ‘nasihat’ dan menggantikannya dengan istilah ‘berbincang’ seperti dinyatakan dalam sidang media.
Menurutnya, Mohammad Shafee sepatutnya bersikap adil memandangkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa kuasa prerogatif berkenaan ‘hendaklah dilaksanakan atas nasihat Lembaga Pengampunan’.
“Adakah beliau cuba menulis semula Perkara 42 undang-undang tertinggi negara kita?
“Muhammad Shafee dilihat telah dengan mudah mengabaikan atau langsung tidak mengambil kira perkataan penting dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan iaitu ‘nasihat’, sebaliknya hanya menggunakan perkataan ‘berbincang’,” katanya menerusi kenyataan, pada Rabu.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur, Alice Loke Yee Ching pada Isnin memutuskan Titah Adendum yang membenarkan Najib untuk menghabiskan baki hukumannya di rumah sebagai tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan.
Ekoran itu Najib perlu menghabiskan baki hukuman penjara atas kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. di Penjara Kajang dan bukannya di rumah.
Yee Ching memutuskan demikian selepas berpuas hati isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah disebut, dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari 2024





