
NANA MOHAMAD, JASMINE AE, HELDA JULIE
GENAP tiga tahun Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui negara sebagai Perdana Menteri, pelbagai pendekatan baharu kerajaan terus dinilai rakyat, khususnya melibatkan kebajikan sosial, bantuan bersasar serta pengukuhan kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa.
Bagi Nuraniza Sepawi, 31, pekerja swasta, antara perubahan paling ketara sepanjang tempoh itu ialah penekanan kerajaan terhadap kebajikan rakyat menerusi penyasaran subsidi dan bantuan bersasar.
Menurutnya, inisiatif seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta Jualan Rahmah memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian rakyat, terutama dalam mendepani peningkatan kos sara hidup.

“Saya bersyukur kerana bantuan ini benar-benar membantu meringankan beban perbelanjaan harian. Pada masa sama, penyasaran subsidi minyak turut membantu mengawal kos pengangkutan harian,” katanya.
Dia berkata, pendekatan kepemimpinan Perdana Menteri yang menekankan keadilan sosial dan kebajikan rakyat memberi keyakinan bahawa kerajaan sentiasa prihatin terhadap keperluan serta kesejahteraan masyarakat.
Pandangan hampir senada disuarakan Amira Masliza Jamalariffin@Zainal, 32, Pengurus Nadi Sibujaya, yang melihat pengukuhan hubungan diplomatik Malaysia di peringkat antarabangsa sebagai antara perubahan paling menonjol.
Menurutnya, usaha aktif Perdana Menteri menjalin hubungan strategik dengan pemimpin dunia bertujuan memperkukuh ekonomi negara serta menarik lebih banyak pelaburan asing.

“Langkah ini secara tidak langsung meningkatkan keyakinan pelabur luar dan membuka ruang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih mampan dan berdaya saing,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan gaya kepemimpinan Perdana Menteri yang menitikberatkan ketepatan masa, kecekapan serta hasil kerja berimpak tinggi sebagai kekuatan utama pentadbiran semasa.
“Di sebalik sikap mesra dan mudah didekati, beliau jelas seorang pemimpin yang tegas, berprinsip serta berdisiplin tinggi, sekali gus meyakinkan rakyat terhadap hala tuju negara,” katanya.
Sementara itu, Leslie Yong, 32, pekerja swasta, berpandangan pelaksanaan bantuan bersasar menerusi inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan BUDI MADANI mencerminkan pendekatan baharu Kerajaan MADANI yang lebih telus dan mampan.
Menurutnya, bantuan SARA, termasuk peruntukan RM100, membantu menampung keperluan asas harian seperti makanan dan barangan dapur, manakala kaedah penyaluran tanpa tunai memastikan bantuan digunakan secara berhemah serta mengurangkan ketirisan.

“Pendekatan ini bukan sahaja meringankan beban kos sara hidup, malah memberi ruang kepada penerima mengurus perbelanjaan dengan lebih bermaruah,” katanya.
Beliau turut menyambut baik pelaksanaan BUDI MADANI yang disifatkan membantu penjimatan kos bahan api menerusi penyasaran subsidi yang lebih adil.
“Saya berharap kerajaan dapat mengekalkan bantuan seumpama ini kerana ia sedikit sebanyak membantu meringankan beban keperluan dalam kehidupan seharian rakyat,” katanya.


