
KUANTAN – Tiga anggota Jabatan Imigresen yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) direman tujuh hari – bermula hari ini – bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah lebih RM10 juta.
Perintah reman terhadap ketiga-tiga suspek yang berusia dalam lingkungan 40-an itu dikeluarkan Majistret Nor Izzati Zakaria selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang.
Ketiga-tiga suspek yang berjawatan Gred KP2, ditahan dalam satu operasi serentak sekitar Kuala Lumpur; Nilai, Negeri Sembilan dan Johor Bahru, Johor, semalam.
Sindiket tersebut menggunakan modus operandi ‘counter setting’ yang membolehkan warga asing masuk ke negara ini tanpa menjalani prosedur pemeriksaan imigresen seperti ditetapkan.
Sebagai balasan, sejumlah wang rasuah dipercayai turut diagihkan kepada anggota imigresen lain yang menjadi tali barut kepada kegiatan itu.
SPRM juga merampas beberapa barangan kemas pelbagai jenis serta sejumlah wang tunai dalam serbuan berkenaan.
Selain itu, beberapa akaun bank milik suspek dikenal pasti dan kini dalam siasatan lanjut bagi mengesan jumlah wang yang masih berada dalam simpanan mereka.
Pengarah SPRM Negeri Pahang, Mohd Shukor Mahmud mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti penglibatan individu lain dalam sindiket berkenaan.





