
PUTRAJAYA – Tempat duduk jenis bangku di bahagian kabin belakang trak Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang terbabit dalam nahas di Teluk Intan, Perak didapati tidak dilengkapi dengan sistem kekangan seperti tali pinggang keledar.
Laporan awal kemalangan itu yang diterbitkan Kementerian Pengangkutan pada Khamis berkata, ketiadaan elemen keselamatan pasif itu dipercayai meningkatkan risiko kecederaan serius secara signifikan terhadap penumpang di bahagian terbabit, ketika pelanggaran berlaku.
Katanya, hasil siasatan mendapati sebahagian besar penumpang dipercayai tercampak ke bahagian hadapan kabin belakang, khususnya ke sisi hadapan kiri kabin, ketika impak berlaku.
“Keadaan ini mengakibatkan pelbagai hentaman sekunder, termasuk pelanggaran antara penumpang serta dengan permukaan dalaman kabin, menyumbang kepada tahap kecederaan parah dalam kalangan penumpang.
“Mekanisma kecederaan itu turut diburukkan dengan kehadiran objek tidak diikat di dalam kabin yang berpotensi menjadi projektil sekunder semasa pelanggaran,” katanya.
Sehubungan itu, laporan itu memaklumkan, gabungan ketiadaan sistem kekangan dan kewujudan objek tidak diikat ini dipercayai menjadi faktor penyumbang utama kepada kadar kecederaan parah dan kematian yang tinggi dalam insiden terbabit.

“Siasatan turut mendapati tiada petunjuk kewujudan kemudahan tali pinggang keledar di tempat duduk hadapan, termasuk di bahagian pemandu dan penumpang hadapan trak FRU.
“Ia adalah risiko keselamatan ketara kepada pemandu dan penumpang kenderaan. Justeru, aspek ini disyorkan untuk diberi perhatian serius dan keutamaan bagi memastikan tahap keselamatan lebih tinggi bagi pengguna kenderaan jenis ini,” katanya.
Pada 13 Mei lalu, trak FRU membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori membawa batu kira-kira jam 8.50 pagi.
Lapan anggota maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Teluk Intan. Sembilan lagi cedera.
Kenderaan FRU itu dilaporkan dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai bertugas sempena sambutan perayaan Chitrapournami sebelum dilanggar lori terbabit.





