Penolakan usul persendirian 40 peratus bukan keputusan Kerajaan Negeri Sabah – Armizan

PAPAR – Penolakan usul persendirian berkaitan tuntutan 40 peratus Sabah di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini bukan bermakna kerajaan negeri menolak perjuangan tersebut, sebaliknya ia adalah keputusan di bawah bidang kuasa Speaker DUN.

Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, persepsi yang cuba mengaitkan penolakan usul tersebut dengan pendirian kerajaan negeri adalah tidak tepat dan mengelirukan rakyat.

“Penolakan usul persendirian di DUN bukan bermakna Dewan apatah lagi kerajaan negeri menolak perjuangan 40 peratus, persepsi ini perlu dibetulkan, kerajaan negeri konsisten dalam menuntut hak 40 peratus sama ada di dalam atau di luar DUN, termasuk di mahkamah.

“Boleh rujuk afidavit balasan dan penghujahan Pejabat Peguam Besar Negeri Sabah, yang mewakili Kerajaan Negeri, dalam kes antara Sabah Law Society (SLS) dan Kerajaan Persekutuan. Kerajaan negeri tegas, hak 40 peratus adalah hak berpelembagaan yang wajib ditunaikan,” katanya kepada media, di sini, pada Isnin.

Tambah Armizan, dalam dalam Sidang DUN lepas, pendirian dan tindakan kerajaan negeri telah diperjelaskan, termasuk oleh Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun yang menjelaskan perkembangan rundingan, antara lain, kadar pertambahan special grant berdasarkan data pungutan cukai.

“Kerajaan negeri menyasarkan pertambahan sekurang-kurangnya dari RM600 juta (kadar semasa) kepada RM3 bilion setahun, bagi peringkat awal ini. Bukan tahun depan, tapi Sabah mahu dilaksana segera.

“Usul ADUN Kapayan, lebih kepada bermotif politik dengan, pertama, mahu memposisikan Warisan supaya tidak ‘tinggal kapal’ dalam pencapaian perjuangan MA63. Maka dicipta naratif kalau DUN atau ADUN tolak, maka perjuangan 40 peratus ditolak dan Warisan adalah pejuang tegar.

“Kerajaan negeri sedang bergerak dengan agresif menuntut hak, tidak masuk akal bagi ADUN-ADUN kerajaan diminta menyokong usul peribadi ADUN Kapayan yang perjuangan mereka sekadar mengelirukan rakyat.

“Kedua, cubaan untuk memadamkan kesilapan besar yang telah kerajaan Warisan buat pada tahun 2019.

“Apa dia kesilapan besar itu? Pertama, Kerajaan Warisan di DUN pada Ogos 2019 menyebut tidak wajar membawa perjuangan menuntut MA63 termasuk 40 peratus terhadap Kerajaan Persekutuan ke mahkamah dan hari ini seolah-olah merekalah lebih konsisten berbanding SLS dan kerajaan negeri.

“Kedua, kerajaan Warisan atas kelulusan Kabinet negeri diketuainya telah mengeluarkan surat rasmi kepada Kementerian Kewangan Malaysia pada Oktober 2019 yang telah bersetuju dengan semakan kadar Pemberian Khas (Special Grant) di bawah Perkara 112 (C) Perlembagaan Persekutuan HANYA pada jumlah RM53.4 juta. Satu tindakan amat cuai membelakangkan kepentingan negeri,” jelasnya.

Menurut Armizan, sekiranya semakan kadar baharu ‘special grant’ belum dilaksana Kerajaan Persekutuan sehingga tiba tempoh Sidang DUN yang akan datang, beliau akan berbincang dengan ADUN-ADUN Penyokong Kerajaan yang diketuai oleh Datuk Masiung (ADUN Kuamat) untuk membawa usul ke DUN berkaitan hak 40 peratus.

“Selain menegaskan semula pendirian dan tuntutan, penting untuk direkodkan secara rasmi dalam DUN akan kedua-dua tindakan Warisan pada tahun 2019 tersebut.

“Ini termasuk membentangkan secara rasmi minit Mesyuarat Kabinet Negeri Warisan dan surat-surat antara kerajaan Warisan dan Kerajaan Persekutuan pada tahun 2019 yang membawa kepada persetujuan pada kadar hanya RM53.4 juta tersebut (dokumen-dokumen ini tersimpan rapi).

“Biar kekhilafan tindakan tersebut menjadi rekod yang terpahat dalam hansard DUN untuk tatapan rakyat dan generasi akan datang,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan ADUN Kepayan, Chin Tek Ming, agar tidak gusar mengenai tuntutan hak Sabah tersebut.

“Jangan khuatir, kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor akan memperjuangkan kadar berbilion-bilion dan bukannya hanya RM53.4 juta seperti kesilapan yang dibuat Warisan.

“Sayang, kerana ADUN Kapayan agak lambat menjadi pemimpin Warisan, kalau tidak saya fikir beliau boleh menasihati Ketua Menteri Warisan pada masa itu supaya tidak bersetuju dengan kadar yang amat-amat rendah tersebut,” kongsinya.

Dalam pada itu, Armizan turut melahirkan keyakinannya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengambil perhatian serius terhadap permintaan Kerajaan Negeri Sabah.

“Hakikatnya hanya Kerajaan Persekutuan pada hari ini yang telah memutuskan dalam Jemaah Menteri dan kemudiannya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri telah menyebut secara terbuka dan rasmi di Parlimen pada 12 November 2025 bahawa Kerajaan Persekutuan mengiktiraf hak 40 peratus Sabah sebagaimana terkandung dalam Perkara 112 (C) dan Bahagian IV, Jadual Kesepuluh, Perlembagaan Persekutuan.

“Pendirian ini tidak pernah dibuat oleh Kerajaan Persekutuan sebelum ini, malah pernah dijawab di Parlimen oleh pentadbiran lalu bahawa hak 40 peratus itu sudah terhenti berkuat kuasa,” jelasnya.

Related Posts

HRPB realisasikan Sekolah Dalam Hospital, pastikan pendidikan pesakit kanak-kanak tidak terhenti

IPOH – Komitmen memastikan pendidikan tidak terhenti walaupun dalam situasi kesihatan mencabar terus dizahirkan apabila Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) melaksanakan inisiatif Sekolah Dalam Hospital (SDH) yang mula beroperasi pada…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Muafakat penduduk bersihkan Klinik Kuala Mendalam dipuji

LIMBANG – Semangat gotong-royong dan muafakat terus utuh dalam kalangan penduduk Kampung Kuala Mendalam apabila mereka berganding bahu membersihkan Klinik Kesihatan Kuala Mendalam yang terjejas teruk akibat ribut dan hujan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

HRPB realisasikan Sekolah Dalam Hospital, pastikan pendidikan pesakit kanak-kanak tidak terhenti

HRPB realisasikan Sekolah Dalam Hospital, pastikan pendidikan pesakit kanak-kanak tidak terhenti

Muafakat penduduk bersihkan Klinik Kuala Mendalam dipuji

Muafakat penduduk bersihkan Klinik Kuala Mendalam dipuji

Industri pelancongan Sabah kekal berdaya tahan – Hajiji

Industri pelancongan Sabah kekal berdaya tahan – Hajiji

Penolakan usul persendirian 40 peratus bukan keputusan Kerajaan Negeri Sabah – Armizan

Penolakan usul persendirian 40 peratus bukan keputusan Kerajaan Negeri Sabah – Armizan

Wanita PKR tegur KJ buat kenyataan dari ‘luar pagar’

Wanita PKR tegur KJ buat kenyataan dari ‘luar pagar’

Pengambilan doktor dan jururawat baharu diteruskan

Pengambilan doktor dan jururawat baharu diteruskan