KERAJAAN Pas Terengganu sekali lagi muncul dengan retorik lama menjaja slogan pembangunan kononnya berlandaskan ‘teladan Rasulullah’ dan mengangkat imej negeri sebagai ‘paling bahagia’.
Hakikatnya, di sebalik ayat indah dan laungan agama, rakyat bawahan masih terperangkap dalam realiti hidup yang jauh dari sejahtera.
Datuk Ariffin Abdul Rahman yang merupakan salah seorang Exco dengan yakinnya mengatakan Terengganu akan memacu pembangunan ikut teladan Rasullah.
Beliau cuba mengaitkan dengan status negeri paling bahagia dengan dengan slogan Kerajaan Negeri Maju Berkat dan Sejahtera.
Retorik ‘bahagia’ menutup duka rakyat
Apakah makna bahagia jika anak muda terus berhijrah ke luar negeri kerana peluang pekerjaan tidak wujud di tanah air sendiri?
Apakah makna bahagia jika nelayan, petani dan peniaga kecil masih dihimpit kos sara hidup yang tinggi, sedangkan Kerajaan Negeri sibuk melaungkan slogan kosong?
Pas cuba mengaburi mata rakyat dengan statistik ‘bahagia’ sedangkan masalah asas seperti isu air, jalan rosak, dan taraf hidup rendah masih gagal diselesaikan.
Agama jadi topeng politik
Tidak ada salahnya meneladani Rasulullah, tetapi yang silap bila agama dijadikan topeng politik untuk menutup kelemahan pentadbiran.
Rasulullah memimpin dengan solusi konkrit, keadilan sosial dan pembelaan terhadap fakir miskin bukan sekadar slogan untuk mengekalkan kuasa.
Pas Terengganu hanya pandai beretorik, sedangkan realitinya pembangunan ekonomi negeri masih 100 peratus bergantung kepada hasil minyak dan bantuan Kerajaan Persekutuan.
Ekonomi lemah, rakyat tertekan
Dakwaan bahawa Terengganu ‘maju’ hanyalah khayalan. Lihat sahaja angka pengangguran belia yang terus meningkat, sektor pelancongan yang gagal bersaing, dan peluang ekonomi rakyat yang terbatas.
Apa yang dibuat Kerajaan Negeri selain bergantung pada royalti minyak?
Kerajaan Negeri gagal mempelbagaikan ekonomi, gagal memperkasa industri tempatan, malah gagal menyediakan pekerjaan berkualiti untuk anak muda.
Slogan Maju, Berkat, Sejahtera hanya retorik
Slogan ‘Maju, Berkat, Sejahtera’ tidak lebih sekadar tempelan manis pada pentadbiran yang lemah.
Maju di mana, jika infrastruktur asas masih ketinggalan? Berkat apa, jika rakyat terus terhimpit tanpa pembelaan? Sejahtera apa, jika belia sendiri terpaksa merantau mencari rezeki?
Pas Terengganu boleh terus berselindung di sebalik slogan agama, tetapi rakyat semakin sedar retorik tidak mengisi perut, janji tidak membayar bil, dan slogan tidak menyelesaikan masalah hidup.
Rakyat mahu tindakan nyata, bukan retorik agama. Kerajaan Negeri mesti dipertanggungjawabkan, cukup sudah menutup kegagalan dengan ayat-ayat indah.
“Luga lama doh duk dengor Kerajaan Negeri nok bawok Islam. Terengganu negeri contoh kejayaan pentadbiran Pas, padahal takdok mende satu sa pun, kalu bual, kambing pun buleh terbang nge sek pas ning, kuat pelawok nombor 1.”






