
LAHAD DATU – Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA) Lahad Datu merekodkan rampasan bernilai RM6,624,389.70 menerusi penugasan Task Force dan Op Taring ESS zone Kompeni C pasukan itu, sepanjang suku tahun pertama, tahun ini.
BN 17 PGA Lahad Datu menerusi satu kenyataan, memaklumkan, setakat Mac tahun ini sahaja, sebanyak RM4,129,045.55 nilai rampasan dicatatkan melibatkan rampasan pelbagai jenis barangan seperti burung liar dilindungi, produk sejuk beku, mercun atau bunga api, rokok seludup tanpa cukai, barang kawalan seperti minyak petrol serta diesel dan kenderaan-kenderaan yang terlibat.
“Seramai 18 individu juga membabitkan 10 lelaki dan lapan wanita ditahan atas pelbagai kesalahan menerusi 13 serbuan bagi tempoh sama.
“Sebahagiannya adalah kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Bahan Letupan 1957, Akta Kastam 1967, Akta Imigresen 1959/63, Akta Kawalan Bekalan 1961, Enakmen Haiwan Sabah 2015 dan Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.
“Antara kes menarik dan terbesar adalah tangkapan kes mercun yang tidak mempunyai kelulusan permit dan dua lori dijadikan pengangkutan.
“Rampasan direkodkan hampir RM500,000 dan sudah diserah kepada pihak Bahagian Siasatan Jenayah IPD Lahad Datu untuk siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” menurut kenyataan itu, pada Isnin.
Selain itu, pada 12 Mac lalu, Op Khazanah bersama Jabatan Hidupan Liar berjaya merampas 148 ekor burung liar dilindungi dan 64 sangkar besi bernilai RM245,500 selepas suspek gagal mengemukakan permit.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 40(2)(a) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.
Sehubungan itu, BN 17 PGA Lahad Datu menegaskan komitmen dalam menguatkuasakan undang-undang sedia ada selain merakamkan ucapan terima kasih kepada masyarakat yang bersedia membantu menyalurkan maklumat.





