KUANTAN – Kesan lekukan dipercayai tapak kaki dan tangan bersaiz besar dikesan pada batu laterit di FELDA Bukit Sagu 2 dan 3, dekat sini, menimbulkan persoalan berikutan bentuknya seakan ‘milik manusia’ dan dipercayai berusia ribuan tahun.
Penduduk, Rosdi Rashid, 56, berkata, kewujudan kesan tapak kaki itu disedari ketika melakukan kerja membersihkan kebun kira-kira dua tahun lalu.
Dia bagaimanapun berkata, penemuan itu bukan ‘pelik’ kerana pernah menjumpai kesan lekukan hampir sama sebelum ini.
“Kesan pertama yang saya jumpa pada tahun 1982 adalah tapak kaki dan kali kedua saya jumpa kesan lekukan di kawasan tidak jauh dari lokasi awal penemuan itu, sekitar dua tahun lalu.
“Saya tengah bersihkan kebun, tiba-tiba ternampak lekukan seakan tapak tangan dan saya ambil gambar,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi berkenaan.
Rosdi menjelaskan, asal usul tapak berkenaan tidak dapat dipastikan, namun ia dikaitkan dengan mitos seorang tokoh zaman dahulu dikenali ‘Tok Sagu’.
Ujarnya, kisah itu diceritakan masyarakat Orang Asli suku Jakun kepada penduduk setempat dan dipercayai mempunyai nilai sejarah tersendiri.
“Kalau ikut cerita, ‘Tok Sagu’ ini orang kata penjaga bukit pada zaman dulu-dulu… macam Mat Kilau juga, kisah orang lama,” katanya ringkas.





