
SEMUA pemandu dan penumpang bas ekspres serta bas persiaran diwajibkan memakai tali pinggang keledar bermula 1 Julai 2025, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli.
Menurut beliau, penguatkuasaan ini akan dilaksanakan terhadap semua bas yang dibina selepas Januari 2020, manakala bas yang dibina sebelum tarikh tersebut akan diberikan tempoh tertentu bagi melengkapkan pemasangan tali pinggang keledar.
“Sebelum ini, JPJ mengambil pendekatan berbentuk advokasi, namun mulai 1 Julai ini, penguatkuasaan akan dilakukan secara tegas,” tegas beliau dalam satu sidang media selepas Perhimpunan Setia JPJ Malaysia di Kota Bharu hari ini.
Beliau juga menegaskan bahawa pemandu bertanggungjawab memastikan semua penumpang memakai tali pinggang keledar sebelum bas bergerak.
Kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan saman sebanyak RM300 bukan sahaja kepada penumpang, malah kepada pemandu serta syarikat pengendali bas.
“Jika pemandu sudah memberi peringatan kepada penumpang tetapi mereka masih ingkar, maka saman hanya akan dikenakan kepada penumpang. Namun, kami akan merujuk kepada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengesahkan sama ada peringatan telah diberikan atau tidak,” jelasnya.
Dalam pada itu, JPJ telah mengadakan perbincangan bersama syarikat pengendali bas serta mengeluarkan garis panduan pelaksanaan bagi memastikan arahan tersebut difahami dengan jelas oleh semua pihak terbabit.
“Kita sudah mengeluarkan garis panduan kepada mereka supaya arahan yang diterima jelas dan selepas ini kita tidak akan berkompromi dengan sebarang kesalahan yang dilakukan.
“Justeru saya mengingatkan semua syarikat pengendali bas dan penumpang supaya mematuhi arahan yang ditetapkan,” katanya.
Katanya, langkah ini sejajar dengan usaha JPJ dalam meningkatkan tahap keselamatan pengangkutan awam dan mengurangkan risiko kemalangan maut yang berpunca daripada kegagalan pematuhan peraturan keselamatan asas.





