
KOTA KINABALU – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu terus memperkasa peranannya dalam memartabatkan dan memelihara ketinggian serta kesantunan bahasa dalam menghadapi dunia digital masa kini, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
“Peranan DBP untuk terus relevan dalam suasana khususnya dalam rempuhan teknologi dan digital dalam memastikan bahasa-bahasa dari segi konteks pemeliharaan bahasa ketinggian kesatunan bahasa itu dapat kita pertahankan dalam suasana khususnya dalam dunia digital pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-69 DBP Peringkat Kebangsaan 2025, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Fadlina turut menekankan beberapa perkara penting untuk memastikan DBP terus maju dalam memperkasakan peranannya.
“Pertama, soal kerangka standard bahasa Melayu yang sedang dibangunkan oleh DBP dan pastinya akan memberikan kesan langsung kepada kurikulum baru sempena kitaran kurikulum baru yang akan digunakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia yang akan datang.
“Yang kedua, adalah berkaitan dengan pindaan Akta DBP yang kita harap dapat disegarkan bagi terus memastikan bahawa fungsi dan peranan DBP dapat kita pertahankan khususnya dalam memartabatkan bahasa Melayu.
“Yang ketiga khusus di Sabah ini, saya sebut tadi peranan DBP dalam memelihara bahasa-bahasa suku yang penting dan inilah antara peranan penting yang mesti diambil alih oleh DBP dalam mempertahankan bahasa-bahasa suku kaum ini supaya generasi yang akan datang dapat sekurang-kurangnya menghargai usaha-usaha ini dan melihat bagaimana pemeliharaan bahasa ini dapat dilaksanakan,” katanya.
Fadhlina turut merakamkan ucapan tahniah kepada negeri Sabah kerana banyak melahirkan tokoh-tokoh bahasa, tokoh-tokoh sastera yang memberi impak yang besar kepada perjuangan bahasa.
“Kita mengharapkan dengan ulang tahun ke-69 ini, lebih banyak reformasi yang berkait rapat dengan memartabatkan bahasa dan iltizam besar khususnya daripada pihak kerajaan untuk memastikan bahawa Bahasa Melayu ini terus dapat dimartabatkan,” katanya.



