PUTRAJAYA – Permohonan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) bagi syarikat bot penumpang dibuka mulai esok, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh.
Beliau berkata, buat masa ini mekanisme penyaluran subsidi RON95 untuk syarikat bot penumpang diberikan secara bayaran balik tunai, sebelum kaedah penyaluran subsidi dan penetapan kuota kepada sektor itu dimuktamadkan akhir bulan ini.
“Pendaftaran SKPS dibuka dari 15 September hingga 7 Oktober lalu dengan 11,297 syarikat membabitkan 22,918 kenderaan berdaftar, manakala pendaftaran bagi syarikat bot penumpang pula akan dibuat mulai esok, 9 Oktober,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) berhubung sistem diguna pakai di stesen minyak seluruh negara dan langkah bagi melengkapkan perkhidmatan di stesen minyak, selaras pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95.
Berkenaan dengan pembangunan sistem kawalan petrol bersubsidi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah berkata, sistem itu bertujuan untuk menerima permohonaan syarikat kenderaan perdagangan awam dan darat serta bot penumpang, mengesahkan kelayakan dan meluluskan permohonan serta kuota.
“Sistem ini dibangunkan dengan kos RM492,900 manakala sistem penyaluran subsidi menerusi BUDI95 (Program BUDI MADANI RON95) untuk individu adalah di bawah tanggungjawab Kementerian Kewangan,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) berhubung kes gangguan sistem bagi pelaksanaan BUDI95, Fuziah berkata secara umumnya tiada masalah besar dikesan berlaku..
Katanya, sepanjang pelaksanaan program itu dan sehingga kini hanya 34 aduan direkodkan melibatkan isu gangguan sistem atau ‘glitch’ dan ‘system down’ di stesen petrol.








