
KUCHING – Kira-kira dua hari lagi sebelum pembentangan Belanjawan 2026 yang dijadual pada 10 Oktober ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dijangka menjadi satu dokumen penting dalam menentukan hala tuju ekonomi Malaysia.
Belanjawan kali dijangka bakal memberi tumpuan utama kepada sektor pendidikan dan kesihatan sebagai asas pembangunan negara, reformasi fiskal, pelaburan strategik dalam infrastruktur, serta kesinambungan agenda subsidi bersasar.
Pembentangan Belanjawan 2026 ini turut menarik perhatian Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah yang berharap agar ianya juga memberi perhatian kepada kebajikan para pekerja di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) khususnya di Sarawak.
Katanya, beliau berharap agar elaun penyelia dan pembantu atau petugas yang berkhidmat di PPDK dapat dinaikkan agar terus menjaga kebajikan mereka.
“Saya berharap, dalam pembentangan Belanjawan 2026 ini, elaun penyelia, pembantu, mahupun petugas di PPDK dapat ditingkatkan.
“Selain itu dalam masa yang sama, penyelia serta pembantu haruslah bijak dan berani untuk meningkatkan kelayakan akademik masing-masing agar bayaran dapat diberi mengikut gred dan bukan sekadar elaun semata-mata,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press (TMP), hari ini.
Jelasnya lagi, sekiranya para petugas di PPDK memiliki tahap kelayakan tinggi, ini adalah merupakan salah satu usaha konkrit dalam masa jangka panjang bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan di PPDK terutamanya kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Untuk rekod, elaun bagi penyelia dan pembantu di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) adalah sekitar RM1,500 untuk penyelia dan RM1,200 untuk pembantu.








