
KANGAR – Seorang peniaga warga emas diberkas polis selepas dipercayai melakukan perbuatan khianat terhadap tiga sistem palang parkir automatik milik syarikat pengendali parkir di pusat bandar itu hari ini.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, lelaki berusia 62 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11.51 pagi di hadapan sebuah bank di Jalan Raja Syed Alwi.
“Suspek disyaki merosakkan harta awam milik pengendali sistem parkir pintar Majlis Perbandaran Kangar dengan melanggar beberapa komponen secara sengaja.
“Kejadian dikesan apabila seorang juruteknik syarikat berkenaan membuat rondaan sekitar pukul 8.50 pagi dan mendapati tiga unit palang automatik telah rosak teruk,” katanya.
Pemeriksaan lanjut mendapati kerosakan melibatkan tiga mesin palang, dua kamera pengecaman nombor plat automatik dan tiga unit penghadang di tiga lokasi berasingan di Jalan Seruling.
“Tiga lokasi yang terjejas ialah laluan masuk ke medan pasar lama, laluan keluar di belakang bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan laluan masuk berhampiran Maybank.
“Kali terakhir sistem berkenaan berada dalam keadaan baik ialah pada petang semalam selepas ujilari teknikal dijalankan oleh pihak syarikat sebelum berlaku kerosakan dipercayai akibat dilanggar,” ujarnya
Polis turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara berwarna kelabu dan alat kawalan jauh milik suspek yang dipercayai digunakan dalam kejadian.
Kerugian dianggarkan berjumlah RM30,000 dan siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat.
Yusharifuddin berkata, suspek telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut dan permohonan reman akan dilakukan esok.






