
PUTRAJAYA – Terdapat keperluan buat kerajaan mengemas kini sistem MyKad terlebih dahulu sebelum melaksana kaedah mengisi minyak menerusi sistem subsidi RON95 menggunakan kad pengenalan yang dijangka bermula hujung bulan ini.
Presiden Persatuan Pemuda Puteri Malaysia Bersatu (Perimau), Mohd Ridhwan Othman berkata, langkah tersebut perlu bagi memastikan sistem baharu itu nanti lancar, cepat dan tidak mempunyai birokrasi apabila dilaksanakan.
Beliau berpandangan, kajian secara terperinci dan tinjauan lapangan harus dilaksana bagi mengetahui kelemahan serta respons positif terhadap pelaksanaan sistem terbabit.
“Lakukan terlebih dahulu kajian atau tinjauan terlebih dahulu sama ada pro dan kontra jika ingin membuat satu-satu sistem pelaksanaan agar ianya dapat berjalan dan beroperasi dengan baik, lancar serta berkesan.
“Kita lihat dan mendapati cip-cip yang ada pada MyKad pada masa kini mempunyai masalah dan memberi kesan sampingan kepada pengguna dalam urusan seharian mereka,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Ahad.
Mengulas lanjut, Mohd Ridhwan memaklumkan, pihaknya tidak mahu sistem itu bakal menyusahkankan rakyat jika dilaksanakan secara terburu-buru tanpa perancangan yang pragmatif serta holistik.

“Kita tidak mahu akan berlaku kesesakan traffik yang teruk di setiap stesen minyak di negara ini sehingga mengundang kemarahan pengguna jalan raya yang lain dan berlaku implikasi ekosistem ekonomi negara,” katanya.
Sementara itu, Mohd Ridhwan melahirkan kebimbangan, kadar kehilangan MyKad kemungkinan akan merekodkan jumlah tinggi jika rakyat tidak prihatin dengan kad pengenalan mereka dan perkara itu akan menimbulkan isu baharu terhadap Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Menurut beliau, keadaan terbabit dilihat akan diambil kesempatan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab apabila mereka memanipulasi data-data berkenaan.
“Secara tidak langsung ini akan memberi ruang dan peluang kepada aktiviti jenayah jualan dan pembekalan MyKad oleh pihak yang tidak bertanggunjawab kepada warga asing atau pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Kita harap kerajaan janganlah buat sesuatu perkara yang baik itu secara tergopoh-gapah sebabnya kita mahu sistem ini dapat diguna pakai untuk tempoh masa yang lama dan panjang demi kebaikan rakyat Malaysia,” katanya.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan orang ramai agar memeriksa MyKad bagi memastikan cip berfungsi dengan baik berikutan pelaksanaan sistem pengesahan subsidi RON95 yang akan bermula pada hujung bulan ini.





