PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan Malaysia diarahkan mempercepat pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dengan mengguna pakai mekanisme sama seperti BUDI95 bagi petrol RON95.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, arahan itu dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mahu perincian mengenainya dibentangkan sama ada dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada Selasa depan atau Mesyuarat Kabinet sehari selepas itu.
Menurutnya, kerajaan kini menilai pendekatan terbaik untuk menukar kaedah agihan BUDI Diesel Individu yang ketika ini disalurkan secara pindahan tunai kepada sistem yang lebih tersasar seperti BUDI95.
“Kita jangka apabila tiba masanya nanti, ini akan dapat membantu terutama bagi rakyat Malaysia yang menggunakan kenderaan diesel.
“Jadi caranya lebih mudah, lebih efisien dan berkesan kalau kita lihat kepada cara pelaksanaan BUDI95,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan selepas Mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan turut meneliti pendekatan berbeza berkaitan pengagihan bantuan bahan api kepada orang awam.
Katanya, perkara itu masih memerlukan perbincangan lanjut termasuk dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
“Ini akan dilaporkan dan dibincangkan dengan lebih terperinci dalam mesyuarat MTEN pada minggu depan sekiranya segala maklumat berjaya diperoleh,” katanya.
Mengulas isu penyeludupan diesel, Fahmi berkata, kerajaan sudah mengambil tindakan awal bagi mengekang kegiatan berkenaan.
Menurutnya, langkah itu termasuk penempatan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di 150 stesen minyak di kawasan sempadan yang dikenal pasti berisiko tinggi.
“Dalam mesyuarat MTEN semalam ada dibangkitkan, salah satu daripada stesen yang dimaksudkan mencatatkan penjualan bahan api jauh lebih tinggi daripada semua stesen yang lain di seluruh negara.
“Apatah lagi bila dibandingkan dengan jumlah populasi yang berada dalam lingkungan tertentu kepada stesen tersebut.
“Jadi salah satu langkah yang dilaksanakan segera adalah penempatan anggota polis di stesen yang telah dikenal pasti berisiko tinggi,” katanya.
Semalam, media melaporkan penyeludup dipercayai memperoleh diesel bersubsidi daripada nelayan di tengah laut sebelum menjualnya kepada nelayan Thailand dan Vietnam.
Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata, sebelum ini kegiatan itu tertumpu di stesen minyak berhampiran sempadan, namun kini beralih ke tengah laut.





