
PUTRAJAYA – Dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) yang berkuat kuasa hari ini dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh kecekapan perkhidmatan awam serta menyokong kelestarian sumber negara.
Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pelaksanaan dasar itu membabitkan kementerian, agensi kerajaan dan badan berkanun, selain pengaturan waktu kerja fleksibel turut diperluaskan kepada syarikat berkaitan kerajaan serta syarikat pelaburan kerajaan (GLC/GLIC).
“Inisiatif ini bukan saja mencerminkan kecekapan tadbir urus, malah berperanan penting dalam pengurangan penggunaan bahan api, seterusnya memastikan kestabilan dan keupayaan bekalan tenaga serta mengurangkan perbelanjaan melalui langkah penjimatan berhemah.
“Dengan memanfaatkan teknologi digital dan pengurusan masa yang efisien, warga kerja digesa untuk terus mengekalkan tahap produktiviti, integriti dan profesionalisme yang tinggi dalam pelaksanaan dasar ini.
“Sementara itu, orang ramai disaran untuk terus mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi kerajaan,” menurut kenyataan itu.
Semalam, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dilaporkan berkata pelaksanaan arahan BDR yang bermula hari ini dijangka membabitkan lebih 200,000 penjawat awam.
Beliau berkata, kelulusan pelaksanaan BDR tertakluk kepada ketua jabatan masing-masing berdasarkan keperluan serta kesesuaian tugas.
Pelaksanaan BDR selama tiga hari seminggu bagi penjawat awam itu bertujuan memastikan penggunaan bahan api lebih cekap, selain mengurangkan kos operasi kerajaan sebagai langkah proaktif dalam menangani krisis tenaga global.
Bagaimanapun, dasar tersebut hanya terpakai kepada penjawat awam di Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor dan semua ibu negeri yang tinggal pada jarak melebihi lapan kilometer dari pejabat.





