PUTRAJAYA – Kerajaan menegaskan penghantaran kira-kira 329,000 tong atau 52.311 juta liter diesel ke Filipina sebelum ini tidak melibatkan hasil petroleum dari Malaysia.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, bahan api berkenaan bukan diperoleh daripada sumber dalam negara, sekali gus menafikan dakwaan yang tular dalam media sosial.
“Cuma saya nak sebut sebab ditanya mengenai diesel tadi, minyak yang sampai ke Filipina itu bukan minyak dari perut bumi Malaysia. Disahkan,” katanya.
Isu berkenaan mencetuskan perdebatan dalam kalangan rakyat ketika negara berdepan ketidaktentuan bekalan tenaga susulan konflik di Asia Barat.
Laporan media Filipina sebelum ini menyebut penghantaran diesel dari Malaysia itu bertujuan menambah bekalan bahan api negara berkenaan dalam keadaan pasaran global yang tidak menentu.
Menurut laporan itu, penghantaran berkenaan adalah sebahagian daripada langkah kerajaan Filipina memperkukuh bekalan domestik selepas menerima 142,000 tong atau 22.578 juta liter diesel dari Jepun pada 26 Mac lalu.
Fahmi turut menjelaskan bahawa kekeliruan timbul akibat salah faham berhubung pergerakan logistik perkapalan di perairan Johor.
Beliau berkata, diesel terbabit bukan diproses oleh Petronas atau syarikat minyak tempatan lain, sebaliknya dimiliki dan diperdagangkan oleh syarikat berpangkalan di Singapura, Vitol.
“Timbul persoalan dalam media sosial mengenai minyak yang didakwa dihantar kerajaan Malaysia ke Filipina.
“Bagaimanapun, penjelasan oleh pihak Petronas dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) mengesahkan minyak itu bukan milik Malaysia,” katanya.





