
PUTRAJAYA- Segala dakwaan berkaitan skandal rasuah lesen mineral di Sabah harus disertakan dengan bukti sahih dan melalui proses pengesahan yang telus, bukannya dijadikan alat untuk kepentingan politik atau peribadi.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pihaknya menyambut baik tindakan segera Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menyiasat perkara itu dan memanggil pengadu bagi memberikan keterangan lanjut.
Menurutnya, SPRM sebagai sebuah badan bebas pastinya akan menjalankan siasatan berdasarkan prinsip keadilan dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
“Dakwaan bahawa video yang dikemukakan oleh individu bernama Albert adalah bukti kukuh tanpa melalui proses verifikasi forensik yang ketat adalah tidak berasas. Sebarang bahan bukti mestilah diuji untuk memastikan keasliannya dan tidak dimanipulasi bagi kepentingan tertentu.
“Pihak berkuasa telah menjelaskan video awal yang tersebar sebelum ini telah disunting, sekaligus menimbulkan persoalan mengenai ketulenannya. Latheefa Koya mendakwa memiliki versi penuh video tersebut, namun ia perlu juga diuji dan disahkan oleh pakar forensik digital sebelum sebarang tindakan lanjut boleh diambil.
“Sehubungan itu, tindakan membuat dakwaan secara terbuka sebelum proses pengesahan selesai adalah tidak bertanggungjawab dan boleh mengganggu siasatan rasmi,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Jumaat.

Beliau mengulas mengenai pendedahan Latheefa baru-baru ini berkenaan 10 video penuh tanpa suntingan berkaitan dakwaan skandal rasuah melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, sekali gus menggesa SPRM menjalankan siasatan segera.
Pendedahan Latheefa itu berikutan Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum ini berkata, hanya terdapat sedikit bukti dalam kes tersebut dan video yang ada setakat ini seperti yang disiarkan sebuah portal berita tidak boleh diguna pakai sebagai bahan bukti kerana telah disunting.
Mengulas lanjut, Jais berkata, SPRM tidak pernah memberhentikan siasatan, malah beberapa kali menyeru pemberi maklumat membuat laporan rasmi kepada pihak berkuasa.
Jelasnya, perlindungan kepada pemberi maklumat hanya boleh dimulakan selepas laporan rasmi dibuat mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, selain tidak boleh diberikan kepada individu yang terbabit secara langsung dalam kegiatan rasuah kecuali mereka bertindak secara ‘bona fide’ untuk membongkar jenayah tanpa kepentingan peribadi.
“Usaha memerangi rasuah haruslah dilakukan secara adil, berasaskan bukti yang kukuh serta mematuhi prinsip kedaulatan undang-undang. Tuduhan tanpa asas yang dibuat melalui media hanya akan menimbulkan kekeliruan dan merosakkan kepercayaan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan.
“Oleh itu, kami menyeru semua pihak untuk tidak membuat spekulasi atau menimbulkan persepsi negatif terhadap usaha memerangi rasuah di negara ini. Sebarang bukti sahih harus diserahkan kepada SPRM mengikut saluran yang betul dan bukannya dijadikan alat untuk kepentingan politik atau peribadi semata-mata,” katanya.
Sementara itu, Jais turut mengkritik kenyataan Latheefa yang menyamakan kes itu dengan kes Datin Seri Rosmah Mansor, dengan menegaskan bahawa setiap kes mempunyai fakta dan konteks tersendiri.
“Keputusan untuk memberi imuniti atau perlindungan kepada saksi, katanya, bergantung kepada tahap pembabitan mereka dalam jenayah berkenaan,” katanya.






