RM5 bilion jaminan pembiayaan bantu PMKS hadapi tekanan global – PM

PUTRAJAYA – Kerajaan mengumumkan beberapa langkah segera bagi membantu meringankan tekanan yang dihadapi oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) susulan krisis tenaga global serta konflik di Asia Barat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan berkata, antara inisiatif utama ialah penyediaan jaminan pembiayaan berjumlah RM5 bilion melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP).

Beliau berkata, kemudahan itu disasarkan kepada PMKS yang terjejas dalam pelbagai sektor termasuk pembinaan, pertanian dan agri-makanan, logistik dan pengangkutan serta pelancongan.

Kerajaan turut meningkatkan liputan jaminan pembiayaan kepada sehingga 80 peratus berbanding 70 peratus sebelum ini, selain melanjutkan tempoh jaminan kepada 10 tahun berbanding tujuh tahun.

Dalam masa sama, SJPP akan bekerjasama dengan institusi kewangan untuk memudah cara penstrukturan serta penjadualan semula pinjaman, di samping menyediakan bantuan bayaran balik secara bersasar kepada peminjam yang layak.

Setakat ini, lebih 50,000 PMKS telah menerima manfaat melalui jaminan pembiayaan melebihi RM50 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2025, sekali gus menjadikan skim tersebut antara instrumen utama kerajaan dalam menyokong kelangsungan perniagaan kecil dan sederhana.

“Dalam keadaan tekanan global yang kian meruncing, Kerajaan MADANI tidak berlengah sebaliknya setiap tindakan segera digerakkan berpandu maklum balas secara terus daripada pemain industri, bagi memastikan setiap langkah yang diambil benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan.

“Tempias konflik Asia Barat kini memberi kesan meluas kepada ekonomi global melalui gangguan bekalan tenaga, peningkatan kos logistik dan insurans, serta tekanan berterusan terhadap harga input yang ditanggung peniaga, pengilang, peladang dan pemain industri lain,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Selain itu, kerajaan bersetuju untuk melonggarkan pelaksanaan e-invois dengan memberikan tempoh peralihan tambahan selama 12 bulan bagi Fasa 4 sehingga 31 Disember 2027.

Kemudahan itu melibatkan perniagaan dengan jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta, termasuk kebenaran mengeluarkan e-invois secara disatukan tanpa dikenakan penalti sepanjang tempoh berkenaan.

Kerajaan juga sedang mempertimbangkan pengecualian sementara duti import dan cukai jualan ke atas pengimportan semula barangan buatan Malaysia yang tidak dapat disiapkan untuk eksport akibat gangguan konflik, sehingga 31 Disember ini.

“Kerajaan akan terus memantau dan mengkaji keperluan untuk memudahcara layanan cukai bagi perniagaan yang terkesan daripada konflik Asia Barat,” kata beliau.

Perdana Menteri menegaskan bahawa kerajaan akan terus bertindak secara proaktif bagi memastikan ekosistem perniagaan kekal berdaya tahan dalam menghadapi tekanan global yang berpanjangan.

“Kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama dengan institusi kewangan, pemain industri dan usahawan agar setiap langkah yang diambil benar-benar membantu mengekalkan operasi perniagaan serta melindungi pekerjaan rakyat.

“Ini bukan situasi sementara, kita perlu bersedia untuk perubahan yang berperingkat dan berpanjangan,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Kewangan dalam kenyataan sama memaklumkan bahawa langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan MADANI sejak awal krisis.

Menurut kementerian itu, pendekatan tersebut turut diperluaskan kepada semua komuniti perniagaan termasuk Bumiputera, Cina dan India, sekali gus menegaskan bahawa tiada segmen ekonomi dipinggirkan.

Tambahnya, sejajar dengan kerangka Ekonomi MADANI, kerajaan komited untuk terus memperkukuh daya tahan ekonomi negara dalam menghadapi ketidaktentuan global, di samping memastikan bantuan disalurkan secara bersasar kepada pihak yang memerlukan.

Related Posts

Malaysia tegas lindungi kepentingan rakyat dalam dunia tidak menentu

DALAM keadaan dunia yang semakin tidak stabil, langkah Malaysia melalui Petronas untuk berunding mendapatkan bekalan minyak dari Rusia membuktikan satu perkara penting: kepentingan rakyat sentiasa diutamakan melebihi tekanan geopolitik luar.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Perasmian MRSM Dungun perkukuh agenda STEM, lahir generasi Ulul Albab

DUNGUN – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merasmikan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Dungun di Kampung Bukit Pauh, sekali gus memperkukuh komitmen kerajaan dalam memperluas akses pendidikan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Integriti ulama dalam politik kembali dipersoal

Integriti ulama dalam politik kembali dipersoal

MCMC buka siasatan kes sebar maklumat palsu libatkan SPRM, Azam Baki

MCMC buka siasatan kes sebar maklumat palsu libatkan SPRM, Azam Baki

Majikan digesa wujudkan tempat kerja bebas tekanan dan toksik

Majikan digesa wujudkan tempat kerja bebas tekanan dan toksik

Pusat Konservasi Gajah bakal dibangun di Teck Guan Cocoa Village

Pusat Konservasi Gajah bakal dibangun di Teck Guan Cocoa Village

RM5 bilion jaminan pembiayaan bantu PMKS hadapi tekanan global – PM

RM5 bilion jaminan pembiayaan bantu PMKS hadapi tekanan global – PM

Gaza perlu AS$71.4 bilion untuk pembangunan semula dalam tempoh 10 tahun

  • By Siti
  • April 21, 2026
Gaza perlu AS$71.4 bilion untuk pembangunan semula dalam tempoh 10 tahun