
TAWAU – Satu inisiatif pelancongan berskala besar bakal direalisasikan di daerah ini menerusi pembinaan Pusat Konservasi Gajah (Elephant Sanctuary).
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS), Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal berkata, usaha itu akan dibangunkan pihak Teck Guan di Teck Guan Cocoa Village.
“Perkara ini telah dimesyuaratkan dan Kementerian dalam proses untuk menilai dan memberikan kriteria serta syarat kepada Teck Guan untuk mereka membina satu Pusat Konservasi Gajah.
“Inisiatif ini bukan sahaja dilihat mampu menjadi tarikan pelancongan baharu di Pantai Timur Sabah tetapi urut memberi penekanan serius terhadap aspek kebajikan dan keselamatan gajah serta pengunjung, ” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan poster peta dan video ‘Discover Tawau Bah’ oleh Tawau Tourism Society di Teck Guan Cocoa Village.

Menurut Dr Andi yang juga ADUN Tanjung Batu, gajah yang akan ditempatkan di fasiliti itu merupakan haiwan yang telah melalui proses pemulihan (rehabilitasi) khususnya dari pusat jagaan seperti Lok Kawi.
Katanya, langkah ini diambil bagi memastikan haiwan tersebut sesuai dan selamat untuk interaksi terkawal bersama pelancong serta mengikut prosedur Jabatan Hidupan Liar.
Mengenai Penubuhan Tawau Tourism Society, Dr Andi berkata, ia dilihat sebagai satu langkah awal yang signifikan dalam usaha memperkukuh industri pelancongan serta menarik lebih ramai pelancong ke Tawau.
“Persatuan ini berperanan sebagai platform penyatuan pemain industri pelancongan tempatan termasuk sektor perhotelan dan ejen pelancongan.
“Melalui kerjasama strategik ini, pelbagai idea dan inisiatif termasuk Cocoa Village ini, ia mampu mempromosikan Tawau kepada pelancong luar (peringkat antarabangsa), ” katanya.







