PUTRAJAYA – Isu kesihatan mental di tempat kerja bukan lagi sekadar isu peribadi, sebaliknya memberi kesan langsung kepada produktiviti serta kesejahteraan organisasi.
Ahli Majlis Penasihat Kesihatan Mental Kementerian Kesihatan (KKM), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, perkara itu perlu diberi perhatian serius oleh majikan dengan menyedari bahawa mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dari segi psikososial bukan lagi satu pilihan, tetapi satu tanggungjawab.
Beliau berpandangan, ketika ini perbincangan mengenai prestasi dan keuntungan sering menjadi keutamaan di tempat kerja, namun aspek kesihatan mental masih diabaikan.
“Terlalu lama pekerja memendam perasaan, berdepan tekanan, kebimbangan, kemurungan, keletihan melampau (burnout) serta pelbagai cabaran di tempat kerja tanpa sokongan dan pemahaman yang sewajarnya.
“Stigma terhadap kesihatan mental menjadi penghalang utama untuk mendapatkan bantuan, malah boleh membawa kepada kesan serius bukan sahaja kepada individu, tetapi juga organisasi.
“Majikan perlu memastikan beban kerja munasabah, keseimbangan kerja dan kehidupan, serta mewujudkan dasar jelas bagi menangani isu buli, gangguan dan budaya kerja toksik,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Selasa.
Mengulas lanjut, Lam Thye menggesa majikan perlu mengambil tanggungjawab, termasuk menggalakkan perbincangan terbuka tanpa stigma, menyediakan akses kepada sokongan seperti kaunseling serta melatih pengurus mengenal pasti tanda awal tekanan mental.
“Tenaga kerja yang sihat dari segi mental akan lebih bersemangat, produktif dan berdaya tahan, manakala masalah kesihatan mental boleh menyebabkan ketidakhadiran, penurunan prestasi serta peningkatan kos kesihatan.
“Lebih penting, ia turut memberi kesan kepada kehidupan individu, keluarga dan masyarakat secara keseluruhan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat berkata, pekerja turut digalakkan menjaga kesejahteraan mental masing-masing, mendapatkan bantuan apabila diperlukan serta saling menyokong dalam membina persekitaran kerja yang lebih prihatin.
Tambahnya, pihak kerajaan dan agensi berkaitan, termasuk KKM juga perlu memperkukuh dasar serta penguatkuasaan bagi memastikan aspek kesihatan mental di tempat kerja diberi perhatian sewajarnya.
“Ini termasuk mengintegrasikan kesihatan mental dalam kerangka keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta menggalakkan organisasi, khususnya perusahaan kecil dan sederhana, mengamalkan amalan terbaik.
“Usaha memecah kesunyian berkaitan isu kesihatan mental memerlukan keberanian dan komitmen semua pihak, termasuk majikan, pekerja dan masyarakat.
“Tiada siapa harus menderita dalam diam. Sudah tiba masanya kita mengiktiraf bahawa kesihatan mental adalah penting di setiap tempat kerja dan untuk setiap individu,” katanya.






