
KANGAR – Kerajaan Negeri Perlis akhirnya membuat keputusan meneruskan operasi parkir pintar tanpa palang selepas isu sistem berpalang mencetuskan bantahan rakyat hampir setahun.
Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan masyarakat serta perbincangan bersama Majlis Perbandaran Kangar dan pihak berkaitan.
“Sistem parkir di Perlis akan diteruskan tetapi tanpa palang bagi memastikan keselesaan rakyat terus terpelihara.
“Keputusan ini dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang malam ini,” katanya di Kompleks Seri Putra di sini semalam.
Pelaksanaan sistem parkir berpalang sebelum ini menimbulkan pelbagai rungutan apabila ia mula diperkenalkan di beberapa kawasan pekan utama negeri itu.
Keadaan tersebut mencetuskan persoalan sama ada kajian menyeluruh pernah dibuat sebelum sistem berkenaan dilaksanakan.
Peniaga tempatan mendakwa jualan merosot susulan kesesakan serta kesukaran pelanggan untuk berhenti singgah di premis perniagaan.
Pengguna jalan raya pula mengadu aliran trafik menjadi perlahan terutama pada waktu puncak akibat proses keluar masuk kenderaan melalui palang automatik.
Langkah menarik balik sistem berpalang itu sekali gus dilihat sebagai pengakuan tidak rasmi bahawa kaedah pelaksanaan sebelum ini gagal memenuhi realiti kehidupan rakyat di negeri kecil seperti Perlis.






