
Oleh: Tengku Majid
KUCHING – Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak menggesa kepemimpinan dan rakyat di Semenanjung agar meneladani formula pentadbiran Sarawak yang menekankan kestabilan politik, keharmonian kaum dan pembangunan inklusif demi memperkukuh perpaduan nasional.
Dalam kenyataan pada Jumaat, Pemuda PBB menyokong pandangan Setiausaha Agung PBB, Dato Sri Alexander Nanta Linggi politik berlebihan di Semenanjung semakin menjemukan rakyat dan menjadi penghalang kepada kemajuan negara, berbeza dengan pendekatan Sarawak yang lebih matang dan berorientasikan hasil.
Menurut sayap pemuda PBB, kestabilan politik merupakan teras utama kejayaan Sarawak dan terbukti berkesan dalam memelihara perpaduan serta menjamin pembangunan berterusan di negeri berkenaan.
“Pemuda PBB turut menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi Sarawak terhadap Malaysia, sambil menolak dakwaan kenyataan tersebut bertujuan merendahkan Semenanjung, sebaliknya menyeru agar kejayaan Sarawak dijadikan rujukan bersama”, menurut kenyataan itu hari ini.
Pemuda PBB turut menzahirkan sokongan terhadap dasar inklusif Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah kepemimpinan Premier Sarawak, Tan Sri Dr Abang Johari Tun Openg yang disifatkan konsisten menjaga kepentingan semua kaum dan agama.
“Dalam isu autonomi serta pengurusan sumber minyak dan gas, Pemuda PBB menegaskan keseimbangan antara hak negeri dengan kepentingan nasional boleh dicapai melalui rundingan, termasuk kerjasama berterusan antara PETROS dengan PETRONAS”, tambahnya.
Menurut kenyataan itu lagi, Sarawak yang kuat bukan ancaman kepada Persekutuan, sebaliknya menjadi pemangkin kepada Malaysia yang lebih bersatu, stabil dan makmur.



