
BARU-BARU ini Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden mencetuskan kontroversi apabila menamakan lima tokoh sebagai calon Perdana Menteri daripada blok PN sekiranya mereka memenangi pilihan raya akan datang.
Menariknya, nama Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN dan bekas Perdana Menteri tidak tersenarai dalam kenyataan dari Afnan itu.
Senarai tersebut telah menimbulkan pelbagai reaksi termasuk daripada pimpinan Bersatu yang menegaskan bahawa sebarang keputusan mengenai calon Perdana Menteri hanya boleh ditentukan oleh Majlis Tertinggi PN.
Kenyataan dari kedua-dua pihak menunjukkan satu hakikat yang semakin jelas terdapat percanggahan pendapat dan mungkin perebutan kuasa di dalam gabungan PN, khususnya antara Pas dan Bersatu.
Nama Perdana Menteri ini agak panas selepas demontrasi Turun Anwar diadakan dan apabila wartawan bertanya kepada penyokong Pas yang menyertai demonstrasi itu siapa akan mengganti Datuk Seri Anwar Ibrahim, maka pelbagai nama dinyatakan hingga timbul beberapa peristiwa melucukan.
Justeru, Afnan Hamimi telah mengambil usaha dengan menyatakan beberapa nama yang layak untuk mengganti Anwar jika PN berjaya pada pilihan raya nanti.
Ironinya, kenyataan dari kedua-dua pihak menunjukkan satu hakikat yang semakin jelas iaitu terdapat percanggahan pendapat dan mungkin berlaku perebutan kuasa di dalam pakatan itu.
Lima nama calon yang dinyatakan oleh Afnan Hamimi ialah Tan Sri Abdul Hadi Awang (Presiden Pas), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Timbalan Presiden Pas), Datuk Idris Ahmad (Ahli Parlimen dan mantan Menteri Agama), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Menteri Besar Trengganu) dan Datuk Seri Hamzah Zaunuddin (Ketua Pembangkang dan mantan Menteri Dalam Negeri).
Daripada lima nama yang dinyatakan itu empat adalah daripada Pas sendiri.
Hanya Hamzah sahaja dari Bersatu. Ini menimbulkan persoalan adakah Pas sedang menghantar isyarat bahawa mereka mahu menguasai tampuk pemerintahan jika menang pada pilihan raya kelak?
Lantas reaksi segera telah diumumkan oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Radzi Jidin dengan menyatakan bahawa penamaan calon Perdana Menteri tidak boleh dilakukan secara sewenang-wenangnya.
Menurut kenyataan Radzi itu segala keputusan harus diputuskan oleh Majlis Tertinggi PN.
Kenyataan itu bukan sahaja menolak tindakan unilateral Pemuda Pas tetapi juga menunjukkan bahawa hubungan antara Pas dan Bersatu kini berada dalam keadaan sensitif.
Kedua-dua parti dilihat sedang berlumba-lumba untuk menguasai naratif dalam gabungan dan mungkin juga berlumba untuk menentukan siapakah ‘wajah utama’ dalam barisan kepimpinan PN dalam pilihan raya akan datang.
Pengundi hari ini semakin matang. Mereka tidak lagi melihat kepada siapa paling lantang bersuara, tetapi siapa yang mampu membawa keadilan, kemajuan ekonomi dan keterangkuman untuk semua kaum dan agama.
Nama-nama yang diumumkan oleh Pas ini, secara umum, masih terlalu terikat dengan imej konservatif dan sukar diterima oleh segmen pengundi muda dan bukan Melayu.
Lebih membimbangkan kenyataan terbuka daripada Pas dan Bersatu yang tidak selari menunjukkan ketiadaan persefahaman dan hala tuju bersama dalam PN.
Ini secara tidak langsung membuka kelemahan mereka sendiri yang selama ini tidak diketahui oleh pengundi hari ini.
Apa yang pasti penulis yakin situasi seperti ini boleh melemahkan keyakinan rakyat terhadap kemampuan mereka untuk memerintah dengan stabil.
Seandainya sebuah kapal itu mempunyai dua nakhoda sudah pasti kapal itu hanya menunggu untuk karam sahaja.
Adakah semua kenyataan dari kepimpinan Pas sejak akhir-akhir ini merupakan satu bentuk ‘test market’ oleh Pas terhadap Bersatu?
Atau isyarat bahawa mereka sudah tidak mahu lagi berada di bawah bayangan Bersatu?
Apa pun tujuannya, pengumuman nama-nama ini tanpa persetujuan rasmi dari PN telah membuka ruang spekulasi dan memperlihatkan perpecahan dalam gabungan pembangkang semakin terasa.
Jika PN serius mahu menawan Putrajaya, mereka perlu segera menyusun semula strategi, memilih calon yang boleh diterima rakyat merentasi kaum dan ideologi, serta membawa naratif bersama yang inklusif.
Jika tidak tindakan seperti ini hanya akan menghantar mesej bahawa mereka lebih sibuk berebut jawatan berbanding membela nasib rakyat.







