
MIRI – Kerajaan MADANI memberi jaminan bahawa pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 melalui inisiatif BUDI95 akan memastikan semua warganegara Malaysia yang memiliki lesen memandu aktif layak menikmati subsidi petrol berkenaan tanpa mengira tahap pendapatan.
Menerusi inisiatif itu, rakyat layak menerima subsidi sehingga 300 liter sebulan bagi petrol RON95, manakala harga selepas subsidi diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter, sekali gus memberikan kelegaan tambahan kepada pengguna.
Bagi melancarkan pelaksanaan, kemudahan pengesahan turut disediakan di lapangan melalui terminal MyKad yang ditempatkan di kedai serta pam stesen minyak, selain pilihan penggunaan dompet digital seperti Touch ‘n Go (TNG) dan aplikasi Setel (Petronas).
“Langkah ini diyakini dapat mengurangkan kesesakan serta mempercepatkan proses pembelian,” kata Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man ketika mengulas isu subsidi RON95 pada petang Isnin.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pemantauan rapi tetap diperlukan bagi mengelakkan pengguna terpaksa membayar harga tidak bersubsidi akibat masalah teknikal atau kekangan proses pengesahan.
Chiew turut menarik perhatian terhadap kebimbangan yang dibangkitkan sektor komersial dan pemandu e-hailing yang bergantung pada RON95 untuk operasi harian.
Katanya, beliau telah bertemu dengan pengurusan Maxim Miri bagi membincangkan cadangan penetapan had siling lebih tinggi khusus untuk pemandu e-hailing, dan kini menunggu maklum balas lanjut daripada kerajaan.
“Kementerian Kewangan (MoF) akan mengeluarkan maklumat terbaharu mengenai BUDI95 dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi. Sebagai wakil rakyat di Miri, saya memberi jaminan akan terus memantau pelaksanaan dasar ini agar berjalan lancar dan memberi manfaat seadilnya kepada rakyat,” jelasnya.





