
KUCHING – Sarawak terus menjadi model perpaduan dan keharmonian agama di Malaysia apabila masyarakat berbilang kaum dan kepercayaan hidup dalam suasana saling hormat-menghormati serta bekerjasama membangunkan negeri.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, keadaan ini adalah hasil pendekatan inklusif dan moderat yang diamalkan oleh kepimpinan negeri sejak sekian lama.
“Piagam Madinah membuktikan bahawa Islam menjunjung tinggi kepelbagaian dan perpaduan. Begitu juga di Sarawak, keharmonian ini telah menjadi kekuatan yang mesti dipertahankan demi kestabilan dan kemajuan negeri.
“Islam tidak memaksa kepercayaan, malah melindungi hak dan institusi agama lain. Prinsip inilah yang kita terapkan di Sarawak sehingga wujud hubungan baik antara semua kaum dan agama,” katanya ketika menyampaikan amanat sempena sambutan Maulidur Rasul 1447 Hijrah di Padang Merdeka pada Sabtu.
Beliau berkata, perpaduan yang utuh itu menjadi asas untuk Sarawak melangkah lebih jauh dalam pembangunan ekonomi dan teknologi, termasuk menjadikan negeri ini peneraju tenaga hijau serta hab digital rantau ini.
“Penubuhan Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak (SSWF) adalah langkah strategik untuk memastikan hasil kekayaan negeri diurus bijak demi generasi akan datang.
“Saya mahu melihat umat Islam di Sarawak bangkit sebagai pencetus idea, pemikir strategik dan penggerak perubahan, bukan sekadar pengikut,” ujarnya.
Beliau menegaskan perpaduan masyarakat majmuk adalah prasyarat penting untuk menjadikan Sarawak terus makmur dan dihormati, bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat antarabangsa.




