
KUCHING – Sarawak berhasrat mahu eksport tenaga elektrik ke Filipina dan dijangka projek itu dijangka pada tahun hadapan.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata perkara itu dicadangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Perdana Menteri memohon kita menghantar tenaga elektrik ke Filipina, ini bermakna kita membekalkan tenaga dalam ASEAN,” ujar beliau.
Tambah beliau, Sarawak mempunyai kelebihan dalam aspek ini yang mampu menarik lebih banyak pelaburan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina Affin Bank di Kuching pada Isnin.
Sementara itu, Abang Johari berkata tenaga elektrik itu dihasilkan dari loji Janakuasa Kitaran Gabungan Turbin Gas berkapasiti 500 Megawatt (MW) di Miri dan tiga loji lain dengan kapasiti gabungan 1,500 MW di Bintulu.
Selain itu, tenaga elektrik yang akan dieksport dari Miri dihasilkan melalui teknologi Combined Cycle Gas Turbine (CCGT) sebanyak 500 megawatt oleh Petros menerusi loji janakuasa yang kini dibina di Lutong.
Kerajaan Sarawak juga melabur RM2 bilion dalam projek tenaga yang menggabungkan kombinasi hidrogen dan stim menggunakan teknologi syarikat Mitsubishi yang pertama kali digunakan di negeri ini.







